Wanita maut pacuan empat roda dinaiki dihanyutkan kepala air

SEORANG wanita maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaikinya bersama dua rakan lain dihanyutkan kepala air di Jambatan Nombor Dua, Kampung Pulai di Gua Musang, Kelantan Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choo Foo berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada jam 10.30 malam.

Beliau berkata, ketika kejadian mangsa yang merupakan warga Indonesia menaiki sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux bersama seorang lelaki warga tempatan dan seorang wanita warga Thailand dalam perjalanan ke Ladang KLC.

“Ketika melalui kawasan berkenaan sekitar jam 8.30 malam, kepala air secara tiba-tiba turun sebelum menghanyutkan kenderaan mereka.

“Lelaki dan wanita warga Thailand itu berjaya menyelamatkan diri, namun mangsa dipercayai hilang dibawa arus,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

Menurut beliau, pada jam 4.15 pagi Jumaat, penduduk menemui mangsa di tebing sungai kira-kira satu kilometer dari lokasi kenderaan hanyut dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia.

Tambahnya, mangsa dibawa ke Hospital Gua Musang dan hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah disebabkan lemas.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi serta menghormati privasi keluarga mangsa.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img