SEORANG wanita yang tular dalam video bertindak agresif mengeluarkan kata-kata kesat di sebuah klinik kesihatan di Gombak, Selangor semalam telah dihantar ke pusat rawatan mental atau Hospital Bahagia.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, siasatan awal mendapati wanita itu yang berusia lingkungan 20-an datang ke klinik bersama anaknya untuk mendapatkan rawatan sebelum bertindak luar kawalan.
“Suspek bertindak agresif dengan menjerit, memaki hamun, berdiri di atas kerusi serta meludah ke arah kakitangan dan orang awam yang berada di klinik.
“Susulan itu, satu laporan polis telah dibuat pada jam 12.25 tengah hari berikutan kejadian berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.
Menurut Noor Ariffin, siasatan kes ini dijalankan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
“Suspek telah ditangkap pada hari yang sama dan didakwa di Mahkamah Majistret Selayang. Kes ini akan disebut semula pada 19 Disember depan,” katanya.
Menurutnya, tertuduh akan dihantar ke Hospital Bahagia untuk penilaian selain tiada ikat jamin yang ditawarkan.
Tular di media sosial sejak semalam mengenai perlakuan seorang wanita mengamuk di sebuah klinik di kawasan Gombak ketika hadir mendapatkan rawatan.


