Wanita pandu BMW maut nahas dengan lori tanah

SEORANG wanita maut manakala seorang lagi parah dalam kemalangan jalan raya membabitkan sebuah kereta dan lori berhampiran Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Jit Sin 2, di Simpang Ampat, Jawi di Nibong Tebal petang ini.

Kemalangan berlaku kira-kira jam 2.45 petang berdekatan Hijauan Hill membabitkan sebuah kereta jenis BMW dan sebuah lori muatan tanah.

GAMBAR: Facebook pembaca

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.45 petang sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Bakap tiba di lokasi pada jam 2.54 petang.

Menurutnya, terdapat dua mangsa wanita yang tersepit di tempat duduk pemandu dan penumpang belakang kereta berkenaan sementara pemandu lori tidak mengalami kecederaan.

“Kerja-kerja menyelamat segera dijalankan menggunakan peralatan khas kebombaan untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

“Semua mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 3.05 petang. Salah seorang mangsa iaitu pemandu kereta disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, mangsa yang maut dikenali sebagai Low Hooi Meng berusia 53 tahun manakala seorang lagi mangsa wanita yang identitinya belum dikenal pasti cedera parah dan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

“Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

“Operasi yang melibatkan enam anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dari BBP Sungai Bakap itu turut dibantu polis, KKM serta Pasukan Bomba Sukarela Taman Sukun. Operasi tamat sepenuhnya pada jam 4.11 petang,” ujarnya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img