Wanita Thailand ditahan cuba seludup 51kg minyak masak dalam kereta

TAKTIK seorang wanita warga Thailand menyeludup keluar minyak masak bersubsidi dengan menyembunyikannya di ruang simpanan tayar gantian gagal apabila dia ditahan dalam pemeriksaan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, Pasir Mas kelmarin.

Timbalan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Aswadi Jaafar berkata, wanita berusia 40 tahun itu ditahan dalam operasi Ops Tiris yang dijalankan KPDN Cawangan Pasir Mas pada jam 2.15 petang Ahad lalu.

PEKET minyak masak bersubsidi yang disorok dalam ruang simpanan tayar ganti. GAMBAR: KPDN

Menurutnya, suspek menggunakan pas sempadan dan dipercayai cuba membawa keluar barang kawalan ke negara jiran menggunakan kenderaan persendirian berpendaftaran asing.

“Pemeriksaan terhadap sebuah kereta jenis Mazda 2 bernombor pendaftaran Thailand yang dipandu suspek menemukan sebanyak 51 kilogram minyak masak bersubsidi pelbagai jenama dengan nilai rampasan RM15,127.50.

“Lebih mengejutkan, kesemua minyak masak itu disorok secara tersusun di bawah pelapik ruang simpanan tayar di bahagian bonet kenderaan, dipercayai bagi mengaburi mata pihak berkuasa serta mengelak dikesan ketika pemeriksaan di pintu sempadan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, wanita terbabit ditahan bagi membantu siasatan, manakala semua barangan kawalan berkenaan turut dirampas.

Tambahnya, siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk meneliti sumber bekalan minyak masak bersubsidi yang diperoleh suspek, selain mengesan kemungkinan wujud rangkaian pembekal tempatan.

“Tindakan tegas tanpa kompromi akan dikenakan terhadap mana-mana pihak, termasuk pemborong dan peruncit, yang didapati bersekongkol dalam penyelewengan subsidi,” katanya.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 serta Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Larangan Eksport) 2022.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img