Wanita warga emas maut dirempuh motosikal ketika berjalan kaki ke surau

SEORANG wanita warga emas yang sedang berjalan kaki menuju ke surau berhampiran rumahnya di Kampung Panji, Merbau Patah di Kuala Terengganu maut selepas dipercayai dilanggar sebuah motosikal hari ini.

Kejadian berlaku kira-kira jam 7.25 pagi ketika mangsa, Minah Abu Bakar, 73, berjalan kaki dari arah rumahnya menghala ke Surau Haji Ahmad yang terletak berdekatan.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan itu pada jam 7.32 pagi.

Menurutnya, ketika kejadian, seorang penunggang motosikal berusia 22 tahun yang juga penghantar makanan dalam perjalanan menghala ke Batu Enam untuk mengambil pesanan.

“Siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku apabila mangsa yang berada di sebelah kanan jalan dikatakan melintas untuk ke sebelah kiri jalan dan memasuki laluan motosikal itu.

“Berikutan itu, penunggang motosikal gagal mengelak dan merempuh mangsa menyebabkan warga emas itu parah serta disahkan meninggal dunia di lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, penunggang motosikal berkenaan turut cedera dan kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah.

Katanya lagi, kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img