Warga emas rentung dalam kebakaran di Sandakan

SEORANG lelaki warga emas ditemukan rentung dalam kebakaran sebuah rumah perkampungan atas air di Kampung Mumiang di Sandakan, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, mayat Lee Thung Mong, 77, ditemukan oleh anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang berada di lokasi kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Sabah menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 7.19 malam.

Katanya  seramai lapan anggota bomba dikerahkan ke lokasi yang terletak kira-kira 70 kilometer dari BBP Sandakan dan melibatkan kawasan perkampungan atas air.

“Pasukan bomba menghadapi kesukaran untuk ke lokasi kejadian kerana tiada laluan darat, keadaan air laut surut serta memerlukan bantuan bot daripada agensi penyelamat lain.

“Sehubungan itu, pasukan bomba bergerak ke lokasi dengan menggunakan bot milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM),” katanya lapor Sinar Harian.

Beliau berkata, kebakaran tersebut melibatkan sebuah rumah jenis tidak kekal yang musnah sepenuhnya dan pemadaman awal telah dilakukan oleh penduduk kampung menggunakan pam air milik sendiri sebelum ketibaan pasukan bomba.

“Seorang mangsa ditemukan oleh anggota PGA dalam keadaan rentung di dalam rumah berkenaan.

“Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi memadamkan sisa bara api menggunakan pam air penduduk sebelum mengeluarkan mangsa dari kawasan tersebut,” katanya.

Beliau berkata,  mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Pemeriksaan di sekitar kawasan turut dijalankan bagi memastikan tiada bahaya lain sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.35 tengah malam,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img