SEORANG wanita warga emas kerugian kira-kira RM15,000 selepas dipercayai diperdaya tiga wanita warga asing yang menyamar sebagai bomoh jalanan dalam kejadian di Pasar Besar Krokop, Miri.
Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 8 pagi pada 4 Mac lalu ketika mangsa yang berusia lingkungan 60-an sedang dalam perjalanan untuk membeli sayur di pasar berkenaan.
Menurut sumber, mangsa pada mulanya didatangi seorang wanita warga asing yang bertanyakan lokasi untuk membeli halia merah kononnya bagi merawat suaminya, lapor Berita Harian.
Tidak lama kemudian, dua lagi wanita menghampiri mangsa sebelum mengajak mangsa berbual di dalam sebuah kereta yang diletakkan di belakang pasar dengan alasan cuaca panas.
Ketika berada di dalam kenderaan itu, salah seorang suspek memberitahu bahawa ‘feng shui’ rumah mangsa tidak baik dan terdapat unsur kuasa jahat yang boleh membawa malapetaka kepada mangsa serta keluarganya.
Suspek kemudian mendakwa satu upacara perubatan perlu dilakukan dan meminta mangsa menyediakan segenggam beras, barang kemas emas serta wang tunai.
Mangsa yang mempercayai kata-kata suspek kemudian pulang ke rumah sebelum menyerahkan beras, emas dan wang tunai yang dianggarkan bernilai RM15,000 kepada suspek.
Barangan itu dimasukkan ke dalam sebuah beg dan suspek mendakwa beg berkenaan telah dijampi serta tidak boleh dibuka selama tiga hari.
Bagaimanapun pada 6 Mac, mangsa membuka beg itu dan mendapati ia hanya mengandungi serbuk garam, dua botol air mineral kecil serta satu paket tisu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun serta boleh dikenakan sebat dan denda jika sabit kesalahan.


