SEORANG lelaki warga emas dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang besar ketika menjala ikan di tepi Jalan Taman Lestari Putra, Seri Kembangan di Serdang, Selangor malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan jam 8.47 malam dan tiba di lokasi jam 8.57 malam.
Menurutnya, dua pegawai dan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Kembangan dikejarkan ke lokasi.
“Mangsa yang berusia 74 tahun dipercayai hilang ketika menjala ikan di kawasan longkang besar.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan oleh anggota bomba bertugas, polis, keluarga dan penduduk taman.
“Setakat jam 11 malam tadi, petunjuk hanya menjumpai motosikal milik mangsa di lokasi dikatakan hilang,” katanya dalam kenyataan hari ini seperti dilapor Harian Metro.
Beliau berkata, operasi mencari disambung jam 8 pagi ini bagi mengesan mangsa.
UNDILAH |



