SPEKULASI mengenai keretakan rumah tangga pasangan selebriti, Yusuf Bahrin dan Zizi Kirana akhirnya terjawab apabila mereka sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, hari ini.
Yusuf atau nama lengkapnya Muhammad Yusuf Bahrin, 34, melafazkan cerai talak satu terhadap Zizi di hadapan Hakim Syarie Mohd Saifullah Hamzah.
Perceraian tersebut berlaku selepas mahkamah membenarkan permohonan cerai yang difailkan oleh Zizi mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003.
Peguam syarie mewakili Zizi, Haiza berkata, kedua-dua pihak bersetuju untuk menamatkan perkahwinan secara baik dan proses di mahkamah berjalan lancar.
“Saya peguam daripada pihak Zizi dan prosiding pada hari ini di Mahkamah Rendah Syariah Petaling merupakan satu permohonan perceraian di bawah Seksyen 47 yang mana pihak-pihak iaitu Zizi dan juga Yusuf, kedua-duanya bersetuju untuk perceraian ini.
“Hari ini, di hadapan direkodkan satu lafaz cerai oleh Yusuf terhadap Zizi dengan talak satu secara raji’e,” katanya.
Menurutnya, permohonan perceraian itu difailkan oleh Zizi dan dipersetujui oleh kedua-dua pihak tanpa sebarang pertikaian.
Sementara itu, Zizi yang ditemui selepas prosiding meluahkan rasa syukur apabila urusan perceraian dipermudahkan.
“Alhamdulillah, semuanya yang baik-baik, insya-Allah..Terima kasih, semuanya sudah selesai,” katanya ringkas.
Terdahulu, timbul spekulasi mengenai keretakan hubungan mereka selepas kedua-duanya memuat naik gambar sambutan Aidilfitri secara berasingan di media sosial.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada September 2021 dan tidak dikurniakan cahaya mata sepanjang tempoh perkahwinan mereka.


