10 cedera roller coaster kemalangan di taman tema – Polis

SERAMAI 10 daripada 22 pengguna roller coaster mengalami kecederaan ringan selepas permainan berkenaan terlibat dalam kemalangan di sebuah taman tema di Subang Jaya, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan polis berhubung kejadian itu pada jam kira-kira 11.45 pagi, semalam.

Menurutnya, kejadian berkenaan berlaku pada kira-kira jam 9 malam, 22 Ogos lalu.

“Hasil siasatan awal mendapati seramai 22 pengguna roller coaster terdiri daripada warga tempatan dan pelancong luar negara berusia antara 11 hingga 44 tahun sedang bermain permainan tersebut ketika kemalangan berlaku.

“Seramai 10 mangsa mengalami kecederaan dan mereka dibawa ke pusat perubatan di sekitar daerah Subang Jaya untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Azlan berkata, kesemua mangsa hanya mengalami kecederaan ringan dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Katanya, siasatan masih dijalankan pihak polis bagi mengenal pasti punca serta keadaan sebenar yang menyebabkan kemalangan berkenaan berlaku.

“Pihak polis menasihatkan masyarakat supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menyalurkannya kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya di talian 03-7862 7100.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here