
HARI ini mungkin ‘hari paling cemerlang’ kepada Bersatu apabila Lembaga Disiplin mengeluarkan notis pemecatan kepada 17 orang pemimpin parti tersebut – satu jumlah yang mungkin mencatatkan sejarah dalam arena politik negara.
Ia memandangkan pemecatan itu dilakukan ‘secara borong’ dalam sehari dan menyaksikan enam Yang Berhormat (YB) disingkirkan iaitu empat ahli Parlimen dan dua Ahli dewan Undangan Negeri (ADUN).
Mereka ialah Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin (Larut), Wan Ahmad Fayshal Ahmad Kamal (Machang), Kapten Azahari Hasan (Padang Rengas) dan Fathul Huzir Ayob (Gerik) manakala dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) ialah Dr.Mohd Yadzil Yaakub (Bemban-Melaka) dan Datuk Zainol Fadzi Paharudin (Sungai Manik-Perak).
Selain Ahmad Fayshal ‘yang dinaikkan pangkat’ daripada digantung kepada dipecat, Wan Saiful Wan Jan (Tasek Gelugor) dan Datuk Seri Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota) lebih awal dipecat.
Seramai 11 lagi yang dipecat hari ini ialah pemimpin di peringkat bahagian iaitu Datuk Abdul Aziz Ismaila (Dungun), Datuk Zulkifli Bujang (Johor Bahru), Ahmad Nasir Mid (Selayang), Yunus Nurdin (Libaran), Ramlan Meon (Tangga Batu), Ahmad Ishak (Gopeng), Mohd Hassundi Hamzah (Larut), Kamaruddin Majid (Teluk Intan), Mohd Yunus Mohd Yusop (Tapah), Nabila Norsahar (Sepanggar) dan Mohamad Shafiq Abdul Halim (Hulu Langat).
Mengikut notis yang ditandatangani oleh Pengerusi Lembaga Disiplin Datuk Mohd Radzi Manan, kesemua mereka dipecat di bawah Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu.
Persoalannya adakah pemecatan ‘secara borong’ yang dianggap langkah drastik untuk ‘melumpuhkan’ sokongan kepada Hamzah akan membantu Bersatu mencapai kejayaan cemerlang dalam mana-mana pilihan raya nanti?
Kepimpinan Bersatu boleh sahaja melakukan ‘pembersihan sehingga ke tulang’ tetapi ia belum tentu akan memberi kelebihan kepada parti tersebut. Sebelum ini Bersatu, umpama sudah lumpuh separuh badan dengan pergolakan yang berlaku tapi bertekad mahu ke medan perang.
Episod pemecatan ‘secara borong’ ini bukan akan berakhir hari ini sebaliknya dijangka berlanjutan kerana terdapat sekurang-kurangnya 10 lagi ahli Parlimen mungkin menerima nasib yang sama.
Apapun kepimpinan Bersatu perlu ingat, kesemua mereka yang dipecat itu bukanlah ‘kecik anak’. Jika Bersatu tidak berhati-hati Fasal 9.1.4 akan menyebabkan parti tersebut merempat.


