3 warga Bangladesh antara lima didakwa miliki 14 tan minyak masak tanpa lesen

LIMA individu termasuk tiga lelaki warga Bangladesh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini, atas pertuduhan memiliki lebih 14 tan minyak masak tanpa lesen sah di sebuah premis perindustrian minggu lalu.

Kesemua tertuduh iaitu K. Ramachandran, 41, Wong Yu Yang, 34, serta tiga warga Bangladesh, Sahabiddin Sheikh, 46, Md Mosharaf Hossain, 37, dan Jahidul Islam, 25, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Shahrul Rizal Majid.

Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama didakwa memiliki barang kawalan iaitu minyak masak seberat 14,056 kilogram dalam keadaan menimbulkan syak munasabah tanpa lesen sah.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Jalan Industri Galla 1, Galla Industrial Park pada pukul 4.16 petang, 11 Jun lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan kerana niat bersama.

Jika sabit kesalahan, kesemua tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Azmil Aspara menawarkan jaminan RM10,000 terhadap dua tertuduh tempatan dengan syarat tambahan melapor diri di Pejabat KPDN Putrajaya serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Bagaimanapun, tiada jaminan ditawarkan terhadap tiga tertuduh warga Bangladesh.

Peguam, Nur Jehan Abu Bakar yang mewakili dua tertuduh tempatan memohon jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya mempunyai komitmen keluarga.

Menurut beliau, Ramachandran bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan sekitar RM3,000 sebulan dan menanggung lima ahli keluarga.

Katanya, Yu Yang pula bekerja sebagai penghantar dengan pendapatan tidak menentu selain menyara ibu serta nenek yang menghidap diabetes dan memerlukan rawatan berkala.

Mahkamah kemudian membenarkan semua tertuduh diikat jamin RM8,000 setiap seorang dengan seorang penjamin warga tempatan dan menetapkan 20 Julai depan untuk sebutan semula kes serta serahan dokumen termasuk laporan kimia.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img