SERAMAI 34 orang disahkan terkorban manakala 52 lagi masih hilang dalam beberapa kejadian bencana termasuk banjir dan tanah runtuh, di Sumatera.
Ketua Bahagian Perhubungan Awam Polis Daerah (Polda) Sumatera Utara, Pesuruhjaya Besar Ferry Walintukan berkata, berdasarkan rekod sementara, terdapat 175 mangsa dengan perincian 34 meninggal dunia dan 52 masih dalam pencarian,” katanya lapor detik.com.
Beliau berkata, setakat pukul 10 malam waktu tempatan (pukul 11 malam waktu Malaysia) , sebanyak 148 kejadian bencana alam telah berlaku di sekitar 12 bandar di Sumatera Utarau.
‘’ Bencana tersebut merangkumi tanah runtuh, banjir, pokok tumbang dan angin puting beliung, katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa bencana dengan impak terbesar direkodkan di kawasan Tapanuli Selatan, Tapanuli Tengah, Tapanuli Utara, Humbang Hasundutan, Sibolga dan Mandailing Natal.
Katanya, beberapa kawasan mengalami tanah runtuh di berpuluh-puluh lokasi serta banjir yang menenggelamkan kawasan perumahan dengan ketinggian air mencecah satu meter.
“Data ini adalah sementara. Beberapa wilayah seperti Medan, Deli Serdang dan beberapa daerah lain belum dapat memberikan laporan penuh kerana hujan yang tidak berhenti dan beberapa akses masih terputus. Pihak polis akan terus mengemas kini data dari semasa ke semasa,” katanya.
Ferry turut menjelaskan bahawa pasukan khas Briged Mobil Polda Sumatera Utara telah digerakkan ke Tapanuli Utara untuk membuka laluan yang tertutup akibat runtuhan serta memindahkan penduduk yang terperangkap.
Sementara itu di Sibolga, pasukan penyelamat masih melakukan pencarian terhadap puluhan penduduk yang dilaporkan hilang akibat banjir kilat.
“Kami sedang mempercepat operasi mencari dan menyelamat mangsa yang belum ditemukan. Pasukan bergerak siang dan malam kerana di beberapa lokasi, keadaan medan agak mencabar akibat laluan yang terputus,” katanya.


