EMPAT maut manakala dua lagi cedera dalam nahas membabitkan lima kenderaan di Jalan Renggam-Simpang Renggam, berhampiran Penjara Simpang Renggam, di Kluang petang tadi.
Kejadian berlaku kira-kira jam 1 petang membabitkan sebuah Perodua Alza, Proton Wira, Mercedes-Benz, BMW dan Toyota Vios.

Keempat-empat mangsa yang maut ialah Aiman Mohd Rashid, 36; Nor Azlina Abd Latip, 33; Semek Mat Soh, 73; dan Nur Airish Syifa Sidek, 10.
Difahamkan, semua mangsa yang maut beralamat di Taman Setia, Bandar Al-Muktafi Billah Shah, Dungun, Terengganu.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Ismail Mamat berkata, kesemua mangsa yang maut menaiki Toyota Vios, dengan seorang daripada mereka tercampak keluar sebelum terjatuh di atas bumbung Mercedes-Benz.
Menurutnya, bomba dan penyelamat menerima panggilan kecemasan pada jam 1.16 petang sebelum menggerakkan lima anggota ke lokasi.
“Sebaik sahaja tiba di lokasi, pasukan operasi mendapati kemalangan berlaku membabitkan lima buah kenderaan.
“Mangsa lain yang cedera ialah pemandu Perodua Alza, Husnizam Hisamudin, 38, serta pemandu BMW yang belum diketahui identitinya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, seorang lagi mangsa yang terselamat ialah Muhammad Amirul Hazim Misnon, 22, yang juga pemandu Proton Wira.
“Empat lagi mangsa yang terselamat ialah mereka yang menaiki Mercedes-Benz iaitu Mohd Azhar Ahmad, 63; anaknya, Muhammad Hariz Mohd Azhar, 23; Rahimar A Rahman, 57; dan seorang lagi penumpang wanita yang belum diketahui identitinya,” katanya.


