FOKUS RABU
SELEPAS membantu Israel menceroboh, memusnahkan dan menjajah bumi Gaza, Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump merasakan ‘arahan’ Israel untuk membantu rejim Zionis yang dipimpin oleh penjenayah antarabangsa Benjamin Netanyahu memusnahkan Iran adalah mudah.
Oleh itu Trump melalui pakatan jahat dengan Netanyahu dengan angkuh menguar-uarkan, mereka akan menakluki Iran dengan mudah.
Namun kelmarin selepas sebulan gagal mencapai matlamatnya dalam perang terhadap Iran serta ketidakmampuan membuka semula Selat Hormuz, Trump yang ‘amat kuat halusinasinya’ mendakwa jika selat itu tidak segera dibuka untuk perdagangan, semua loji janakuasa elektrik, telaga minyak dan Pulau Kharg akan dimusnahkan.
Bagaimanapun kelmarin , dalam kenyataan berbeza, Trump meletakkan tanggungjawab pembukaan Selat Hormuz kepada negara-negara Eropah dan menggesa mereka bertindak sendiri.
Ancaman Trump sejak awal perang telah berulang kali diulang dengan perubahan. Hakikatnya Trump mengisytiharkan perang dengan Iran secara membuta-tuli.
Beliau buta untuk melihat fakta apa akan berlaku jika perang tercetus. Trump yang kini semakin dibenci oleh majoriti rakyat AS sepatutnya meneliti rekod perang di Teluk sebelum memulakan konflik dengan Iran.
Sebagai contoh, terdapat satu dokumen dalam arkib Central Intelligence Agency (CIA) yang merupakan sebahagian daripada artikel The Washington Post pada tahun 1985, sebelum penglibatan rasmi AS dalam perang Teluk.
Menurut Tasnim News Agency dokumen itu sepatutnya dibaca oleh Presiden Amerika Syarikat itu sebelum bertindak. Artikel tersebut bertajuk “Perang Teluk mencipta ancaman baharu terhadap kepentingan Amerika” dan membincangkan serangan Saddam Hussein ke atas Pulau Kharg serta apa yang dikenali sebagai “Perang Kapal Tangki”.

Nota itu menyatakan bahawa Saddam berhasrat memusnahkan terminal utama eksport minyak Iran di Pulau Kharg untuk menghentikan eksportnya, dan telah melancarkan serangan ke-13 bagi menunjukkan kesungguhan Baghdad. Sebagai tindak balas, Iran mengancam bahawa jika Iraq berjaya, semua eksport minyak negara-negara Arab dari Teluk akan dihentikan.
Dalam bahagian lain, disebut bahawa penganalisis Amerika di Washington percaya serangan udara Iraq, walaupun menyebabkan kerosakan besar kepada kemudahan pemunggahan di Kharg, masih belum memberi kesan besar kepada tahap eksport minyak Iran. Namun mereka meramalkan bahawa jika eksport Iran menurun dengan ketara, Iran akan bertindak balas.
Ketika itu seorang pegawai kerajaan AS turut dipetik berkata:
“Kita telah memasuki tahap yang lebih berbahaya bagi penghantaran minyak dari Teluk dan bagi kepentingan Amerika di rantau ini. Terdapat potensi lebih besar untuk konfrontasi tidak disengajakan yang boleh melibatkan kepentingan AS.”
Antara senario yang dibayangkan oleh sumber AS termasuk: serangan udara Iran terhadap kapal tangki AS, operasi pemeriksaan dan penahanan kapal dagang AS oleh Iran, usaha Iran menutup Selat Hormuz, atau serangan udara ke atas kemudahan Arab Saudi.
Dalam laporan ini, Richard Helms dipetik berkata bahawa pemimpin Iran amat serius dalam ancaman balas mereka. Beliau menyatakan bahawa artileri Iran di pesisir pantai mungkin mula membedil kapal tangki dan kapal dagang lain yang melalui selat sempit itu bagi menakutkan pelayaran di Teluk.
Dokumen tersebut juga menunjukkan bahawa serangan Iraq ke atas Kharg bukan sahaja perubahan besar dalam taktik perang Saddam, tetapi juga mencipta tahap bahaya baharu untuk seluruh rantau Teluk.
Pengeluar minyak Arab, khususnya Kuwait dan Saudi Arabia, turut bersiap sedia menghadapi tindakan balas Iran terhadap kemudahan minyak mereka, sama ada melalui serangan udara atau sabotaj.
Walaupun terdapat amaran tersebut, pentadbiran Ronald Reagan bukan sahaja gagal menghalang serangan Iraq, malah dengan meningkatkan sokongan perisikan dan logistik kepada Saddam, secara tidak langsung menyumbang kepada eskalasi perang dan penglibatan langsung Amerika.
Ketika itu, AS cuba mengiringi kapal tangki Kuwait, namun Iran — walaupun mengalami kerugian besar — menggunakan bot laju dan periuk api laut untuk menghalang pihak Amerika daripada menamatkan konflik itu memihak kepada mereka.
Kini akibat tidak membaca dokumen tersebut dan berasa Amerika Syarikat sudah cukup kuat melalui pakatan jahat bersama Israel, Trump berada di ambang kekalahan.
Selepas 40 tahun, semua ancaman itu telah menjadi kenyataan. Iran bukan sahaja menutup Selat Hormuz, malah telah menyebabkan kerosakan serius kepada beberapa kapal AS, dan selepas sebulan, AS masih gagal membuka semula laluan tersebut.
Iran melaksanakan apa yang sudah diperingatkan oleh CIA kepada pemerintah Amerika Syarikat 40 tahun lalu. Kini negara kuasa besar itu menanggung akibat disebabkan memiliki seorang Presiden yang buta sejarah.


