51 serangan ganas gegar Selatan Thailand dalam satu malam

PUSAT Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 [ISOC Region 4 Front] mengesahkan berlaku 51 insiden berkaitan keganasan di tiga wilayah sempadan selatan Thailand bermula jam 8 malam hingga 12 tengah malam tadi

Menurut kenyataan ISOC Region 4 Front, insiden tersebut melibatkan Wilayah Narathiwat dengan 22 kejadian, Yala (18 kejadian) dan Pattani (11 kejadian).

Di Narathiwat, daerah yang paling banyak terjejas ialah Rangae (5 kejadian), diikuti Chanae (4 kejadian) dan Bacho (3 kejadian). Laporan awal turut merekodkan 2 orang awam cedera dalam insiden di wilayah itu.

Bagi Yala, sebanyak 18 kejadian direkodkan dengan Tarn To mencatatkan paling tinggi iaitu 8 kejadian, diikuti Bannang Sata (6 kejadian) dan Raman (2 kejadian). Tiada laporan kecederaan setakat ini.

Manakala di Pattani pula berlaku 11 kejadian. Daerah Yarang dan Nong Chik masing-masing 3 kejadian. Pihak berkuasa memaklumkan tiada mangsa cedera dilaporkan di wilayah ini.

Komander Tentera Wilayah Ke-4 telah mengarahkan semua pasukan keselamatan untuk segera menjalankan pemeriksaan, mengawal lokasi kejadian dan memperketatkan langkah keselamatan bagi melindungi nyawa serta harta benda rakyat.

“Pegawai di lapangan sedang menilai keadaan di setiap lokasi, mengumpul bahan bukti dan mengambil tindakan undang-undang susulan. Keutamaan diberikan untuk mencegah berlakunya insiden susulan dan memulihkan keadaan kepada normal dengan kadar segera,” menurut kenyataan itu.

ISOC Region 4 Front turut menyeru orang ramai supaya lebih berwaspada, mengelak dari menghampiri kawasan kejadian dan kawasan yang telah diisytiharkan oleh pihak berkuasa.

Orang awam diminta agar tidak menyentuh atau mengurus sendiri sebarang objek, individu atau kenderaan yang mencurigakan.

Sebarang maklumat boleh disalurkan segera kepada pihak berkuasa terdekat atau melalui talian panas ISOC Region 4 Front 1341 yang beroperasi 24 jam.

“Kerjasama pantas daripada rakyat amat penting bagi membantu pihak berkuasa menilai situasi, memantau kawasan dan mengurangkan risiko terhadap keselamatan awam,” tambah kenyataan tersebut.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here