KETUA Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Anis Rizana Mohd Zainuddin antara enam pelantikan baharu dan perubahan penempatan bagi jawatan pengurusan tertinggi perkhidmatan awam berkuat kuasa 9 Mac ini.
Anis Rizana dilantik sebagai Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) manakala tempatnya diisi Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Amran Ahmad.

Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perlis, Datuk Rahimi Ismail dilantik sebagai KSU Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan tempatnya diambil alih oleh Setiausaha Bahagian Sumber Manusia Kementerian Kesihatan (KKM), Datuk Noor Azman Abdul Rahman.

Perubahan penempatan pula menyaksikan KSU Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad dilantik sebagai KSU KKM manakala KSU KBS, Datuk Dr K Nagulendran pula bertukar sebagai KSU MOSTI.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dalam satu kenyataan berkata, perubahan itu adalah manifestasi kepada tuntutan reformasi yang memerlukan kepantasan dan ketangkasan luar biasa.
“Perkhidmatan awam perlu lebih telus dan berintegriti dalam melahirkan sektor awam yang lebih berdaya saing dan relevan dengan peredaran zaman.
“Berlandaskan prinsip #tatasetia, setiap pelantikan ini membawa amanah besar untuk memperkukuhkan kerjasama antara agensi dan membuktikan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada Raja serta negara dalam merealisasikan visi Malaysia MADANI,” katanya.


