6 terbunuh dalam serangan Zionis di Qatar, ‘Captain America’  punca Israel semakin mengganas

ANALISIS

SEMALAM dunia menyaksikan sekali lagi bagaimana biadabnya Israel yang dipimpin oleh Perdana Menterinya, Benjamin Netanyahu melancarkan serangan memasuki negara berdaulat Qatar atas alasan mahu membunuh pemimpin Hamas yang berada di Doha.

Walaupun barisan kepimpinan Hamas terselamat dalam serangan ganas itu namun enam orang disahkan terbunuh termasuk seorang anggota pasukan keselamatan Qatar dan anak kepada pemimpin kanan Hamas, Khalil al-Hayya.

Menurut kenyataan Hamas, selain Humam al-Hayya turut terkorban ialah pengarah pejabatnya, Jihad Labad Abu Bilal bersama tiga pengawal peribadi.

Paling biadab, serangan dikatakan berlaku ketika rundingan gencatan senjata sedang berlangsung sekali gus mencetuskan kecaman meluas dari kerajaan Qatar, yang menyifatkan tindakan Israel sebagai “pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa” dan “serangan pengecut”.

Berikutan itu Qatar, yang selama ini menjadi perantara utama dalam rundingan antara Israel dan Hamas, telah menggantung semua usaha diplomatik susulan serangan berkenaan.

Menteri Luar Qatar menegaskan bahawa tindakan Israel telah menjejaskan kestabilan serantau dan mengancam keselamatan negara itu.

Serangan ini turut mendapat perhatian antarabangsa, dengan Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, mengutuk tindakan Israel dan menggesa semua pihak kembali kepada meja rundingan demi mencapai gencatan senjata yang berkekalan.

Persoalannya adakah Israel mendengar permintaan PBB itu yang selama ini sudah terbukti tidak mampu berbuat apa-apa kerana rejim Zionis disokong kuat dan dipertahankan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump>

Atas sebab itulah Netanyahu setakat hari ini telah membunuh lebih 64,000 rakyat Palestin dan cuba menghancurkan negara Palestin khususnya Gaza dengan sehancur-hancurnya.  Israel tidak pernah mempedulikan apapun kata dunia kepada mereka kerana tahu AS di belakang mereka.

Begitulah juga serangan di Qatar. Israel telah memberi alasan bahawa ia serangan yang tepat bagi membunuh pemimpin Hamas yang didakwa terlibat dalam serangan 7 Oktober 2023 di negara Zionis itu.

Memburu pemimpin Hamas dan menghapuskan Hamas inilah dua alasan yang diberikan oleh Israel bagi menghalalkan kekejaman mereka sehingga tiada satupun negara di dunia yang mampu menghalang mereka. Ia kerana jika ada negara mahu mengambil tindakan ke atas Israel dan pemimpinnya, ‘Captain America’ Donald Trump akan tampil membela. AS akan menggunakan kuasa veto di PBB demi mempertahankan negara pengganas Israel itu.

Selagi Trump dan AS mempertahankan apa juga perbuatan jahat Israel termasuk memberi alasan tidak tahu mengenai serangan di Qatar tersebut kerana ia arahan Netanyahu selagi itulah Israel akan bermaharajalela.

Tindakan Israel benar-benar melanggar undang-undang antarabangsa tetapi Trump hanya berkata, ‘’ Perdana Menteri memberitahu saya bahawa beliau mahu mewujudkan keamanan. Saya percaya insiden malang ini boleh dijadikan peluang untuk KEAMANAN,” kata Trump.

Soalnya adakah selepas ini jika Israel menyerang mana-mana negara berdaulat yang turut mengorbankan orang awam seperti mana berlaku di Qatar, Trump juga akan beri alasan tidak tahu dan ‘’ia peluang untuk keamanan’’.

Adalah terlalu bodoh dan sangat jahil jika ada mana-mana pihak waima pemimpin mana-mana negara pun yang percaya AS akan menghentikan keganasan Israel serta percaya Trump mahu mewujudkan keamanan di dunia khususnyan di Gaza!

Kesimpulannya serangan di Qatar membuktikan Israel adalah negara paling berkuasa di dunia dan Netanyahu boleh berbuat apa sahaja, menyerang sesiapa, di mana sahaja kerana mereka ada ‘perisai Captain America’ iaitu Donald Trump!

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img