
APABILA kecerdasan buatan (AI) mula menguasai emosi manusia, gelombang perasaan yang dahulunya lahir daripada pengalaman sebenar dan memori kolektif, tiba-tiba memperoleh kuasa baharu yang tidak pernah tidur.
`Kuasa’ itu adalah mesin, teknologi atau robot, yang mampu meniru tangisan, doa dan rindu, lalu memacu gelombang perasaan yang menyala merentasi sempadan, masa dan komuniti.
Inilah realiti media sosial terkini: kandungan sintetik yang kedengaran dan kelihatan seakan-akan asli berupaya meniupkan semangat memberontak, menggerakkan tindakan, memusatkan kemarahan, mengalirkan air mata, bahkan membekalkan visual dan audio untuk mobilisasi di jalanan.
Khalayak tidak lagi sekadar menjadi penonton, tetapi berubah menjadi `gerila’ emosi dalam rangkaian digital tanpa sempadan.
Fenomena lagu ciptaan AI – “Justice For Zara Qairina’’ menjadi contoh jelas perubahan ini. Lagu tersebut tular di YouTube dan TikTok dalam pelbagai versi, digubah dengan melodi pilu, dinyanyikan dengan vokal sintetik yang realistik, seolah-olah suara seorang yang meratapi kehilangan insan.
Ia pantas menyalakan simpati serta solidariti merentas sempadan, seterusnya berfungsi sebagai “soundtrack” gerakan menuntut keadilan. Keampuhan emosi lagu ini tidak hadir daripada rakaman penyanyi sebenar di studio, tetapi daripada kecekalan algoritma yang boleh mencipta, menterjemah, memanjangkan versi, malah menghasilkan remix tanpa henti.
Apabila emosi boleh diautomasi, ia boleh digandakan dan diarahkan. Inilah nadi baharu gerakan solidariti digital yang dilahirkan oleh mesin, teknologi mahupun robot, tetapi dihidupkan oleh manusia.
Kesan dominasinya dapat dilihat dalam ekosistem buli, sama ada siber mahupun fizikal. Sebagai contoh dalam satu insiden perundangan remaja perempuan yang disiarkan secara langsung di Depok, Indonesia, pada Julai 2025 membuktikan betapa ia menjadi `kegilaan’ yang berlaku di pentas maya, disertai sorakan, ejekan dan menarik tontonan.
Berita mengenai kejadian ini dilaporkan dan diulas oleh TribunNetwork Online pada 8 Julai 2025.
Dalam konteks ini, AI mempercepatkan lingkaran ini dengan menghasilkan sari kata automatik, terjemahan segera, penuras wajah dan muzik latar yang mendramakan kezaliman. Klip-klip video kemudiannya dibahagikan, disunting, dimuat naik semula merentas platform.
Setiap versi semakin melonjak pancingan emosi. Hukuman awam melalui ruangan komen mengatasi pertimbangan rasional, lalu media sosial bertukar daripada ruang pendidikan kepada alat hukuman. Tanpa kawalan, AI menjadi pemangkin kepada budaya ini.
Situasi lebih membimbangkan apabila arus emosi digital melimpah ke jalanan. Pada Ogos hingga September 2025, pihak berkuasa Indonesia memanggil syarikat gergasi seperti TikTok dan Meta kerana kandungan mengelirukan, termasuk video deepfake yang mengaitkan seorang Menteri negara itu, di mana ia dibuat secara palsu serta rakaman lama yang dikitar semula sebagai peristiwa baharu.
Dalam suasana penuh emosi, kandungan sebegini menyalakan salah faham, mempercepatkan ajakan turun ke jalan dan menambah huru-hara. TikTok bahkan menggantung sementara siaran langsung di Indonesia, suatu tanda kebimbangan terhadap kemampuan kandungan berimpak tinggi, termasuk yang dihasilkan oleh AI, untuk mencetuskan gerakan dan tindakan spontan.
Keresahan dalam penciptaan emosi berasaskan teknologi ini, lebih membimbangkan apabila timbul dakwaan “shadow-banning” dalam situasi yang berlaku di negara jiran. Ada pengguna mendakwa kandungan berkaitan kritikan tidak dapat dimuat naik, lalu mentafsirkannya sebagai usaha menutup suara rakyat.
Sama ada benar atau tidak, persepsi penapisan ini sebenarnya telah memarakkan lagi emosi, mendorong migrasi kandungan ke platform lain dan menyuburkan teori emosi untuk tindak balas yang kebih agresif.
Apabila keraguan terhadap ketelusan platform bertembung dengan kandungan AI yang sukar disahkan, khalayak akhirnya terperangkap dalam kepercayaan dan fakta, seolah-olah boleh direka oleh perisian.
Lagu emosi dalam kes buli di negara ini, misalnya, menyentuh nurani seakan-akan tulen walaupun dihasilkan mesin dan ketangkasan teknologi. Mesin tidak pernah berduka kerana yang berduka adalah manusia.
Kedukaan itulah yang dioptimumkan oleh algoritma untuk capaian, tontonan dan tindakan. Soal etika yang timbul bukan sekadar “siapa pemilik suara”, tetapi “siapa bertanggungjawab apabila emosi sintetik memicu akibat nyata?” Penghasilan muzik janaan AI ini, boleh dilakukan dalam tempoh yang singkat dengan lirik yang dicipta dan dibenarkan mesin dan teknologi menghasilkan lagu yang terbaik dan beremosi masa kini.
Begitu juga dengan grafik dan pelaporan turut berubah sifatnya. Model bahasa mampu meringkaskan peristiwa dengan tajuk yang mengapi-apikan, generator imej menghasilkan poster yang sesuai dengan estetika protes, manakala penyunting video AI mencipta montaj yang menyentuh emosi pada saat tepat.
Dalam krisis, ia kelihatan sebagai kecekapan. Namun tanpa kawalan, tanpa label ketulenan, tanpa proses semak silang, tanpa disiplin editorial, maka kecekapan bertukar menjadi pemangkin histeria. Algoritma yang memaksimumkan perhatian akan memilih kandungan yang membakar emosi dan AI dengan taat menghidangkan versi paling dramatik untuk setiap isu.
Daripada keadaan ini lahir beberapa risiko besar.
- Pertama, normalisasi ketidakpastian: apabila deepfake, audio palsu dan teks auto-pelapor, bercampur dengan bahan asli, orang ramai mula lebih percaya kepada perasaan berbanding fakta.
- Kedua, budaya hukuman massa: pemburuan maya dan perbicaraan awam menggantikan proses keadilan.
- Ketiga, mobilisasi impulsif: butang kongsi semula menjadi isyarat perang, dengan AI menggandakan naratif sehingga isu tertentu meletup menjadi mercu tanda kemarahan.
- Keempat, keletihan empati: apabila setiap hari muncul lagu ratapan baharu, poster bencana baharu dan siaran langsung penuh air mata, masyarakat akhirnya menjadi kebal rasa.
Membekukan teknologi bukan jawapan. Jalan ke hadapan memerlukan penjajaran semula institusi, platform dan budaya khalayak. Kerajaan boleh menuntut moderasi proaktif terhadap kandungan manipulatif, tetapi ia perlu dilakukan dengan telus agar tidak ditafsir sebagai usaha menghalang kebebasan bersuara.
Platform pula mesti menandakan asal-usul kandungan, mengehadkan keupayaan viralisasi automatik bagi klip berisiko, serta memperlahankan penyebaran bahan yang mencetuskan keraguan tinggi. Bilik berita dan penggiat masyarakat sivil perlu membina protokol – “henti, sahkan dan siar”, yang adaptif terhadap era AI.
Pencipta kandungan, termasuk mereka yang menghasilkan lagu seperti kes buli, mesti mengiktiraf penderitaan manusia tanpa mengeksploitasi emosi khalayak, malah menjelaskan penggunaan AI secara jujur.
Khalayak sendiri perlu membina disiplin baharu iaitu literasi emosi. Soalan yang perlu diajukan: “Siapa yang mahu aku berasa begini? Untuk tujuan apa? Bagaimana mesin dan teknologi ini membentuk perasaan aku?” Dengan pertanyaan kritis sebegini, masyarakat tidak mudah terperangkap dalam perangkap algoritma.
Kemunculan AI sebagai pengarah emosi tidak semestinya membawa kita ke arah distopia. Jika digunakan dengan amanah, ia boleh mengangkat suara mangsa, mempercepatkan bantuan dan merangka ruang selamat untuk golongan terpinggir. Namun garis pemisah antara penguasaan empati dan gelombang emosi ketika ini dilihat sangat rapuh.
Masa depan ruang awam digital bergantung pada keberanian kita mengembalikan ketulenan manusia di tengah kecekalan robot: membudayakan semak dan imbas, mengutamakan konteks berbanding kejutan dan menyedari bahawa tidak semua yang membuat kita menangis wajar disebarkan.
Di hadapan mesin dan teknologi yang boleh menggubah duka dan amarah, akal budi kitalah bukan algoritma yang harus menentukan rentaknya. Ya, kita manusia, bukan robot atau mesin yang menguasai diri dan emosi kita !
*Dr. Ainol Amriz Ismail adalah Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI).



