Gerakan RESET Johor sedia ditransformasikan ke dalam Parti Wawasan Negara

GERAKAN RESET Johor menyatakan kesediaan penuh untuk mentransformasikan keseluruhan 26 Bahagian gerakan itu di negeri tersebut untuk menyertai Parti Wawasan Negara yang diumumkan Datuk Seri Hamzah Zainudin semalam.

Penyelaras Gerakan RESET Johor, Datuk Zulkifli Bujang berkata, penubuhan Parti Wawasan Negara merupakan satu langkah yang penting dalam memastikan perjuangan yang telah digerakkan melalui Gerakan RESET Malaysia dapat diteruskan dengan lebih tersusun, berkesan dan mempunyai platform politik yang sah untuk membawa agenda perubahan kepada negara.

Menurut beliau, Gerakan RESET Malaysia yang diasaskan oleh Hamzah sebaik sahaja dipecat Bersatu pada Februari lalu berjaya menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat yang berkongsi aspirasi yang sama iaitu untuk melihat lahirnya sebuah Malaysia yang lebih baik, lebih adil dan lebih sejahtera.

“Namun, perjuangan untuk melakukan pembaharuan tidak akan dapat dicapai sepenuhnya tanpa sebuah wadah politik yang mampu menterjemahkan gagasan tersebut kepada dasar dan tindakan yang memberi manfaat kepada rakyat.

“Atas sebab itu, Parti Wawasan Negara bukan sekadar sebuah parti politik, tetapi merupakan kesinambungan kepada perjuangan RESET yang telah digerakkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hamzah mengumumkan Parti Wawasan Negara akan menjadi platform baharu perjuangan politik beliau ketika berucap di Konvensyen RESET di Tanah Merah, semalam malah memaklumkan nama parti itu diberikan oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Menurut Zulkifli, Parti Wawasan Negara dan Gerakan RESET berkongsi matlamat yang sama iaitu memperbetulkan sistem yang semakin memerlukan pembaharuan serta membina sebuah Konsensus Nasional Baharu yang mampu menyatukan rakyat pelbagai latar belakang demi masa depan negara.

“Saya yakin transformasi Gerakan RESET seluruh negara ke dalam Parti Wawasan Negara akan memperkukuhkan lagi perjuangan ini.

“Dengan kekuatan jentera di 26 Bahagian di seluruh negeri Johor, kami bersedia untuk meneruskan perjuangan bersama kepimpinan Hamzah bagi membina sebuah Malaysia yang lebih harmoni, progresif dan makmur, serta memastikan suara dan kepentingan rakyat sentiasa menjadi keutamaan,” katanya lagi.

Menurut Zulkifli, perjuangan ini tidak pernah terhenti sebaliknya ia kini memasuki fasa yang baharu dengan wadah yang lebih jelas dan lebih tersusun.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img