Siapa batalkan ceramah Ustaz Wadi Annuar di Sendayan?

  • ‘’Apabila saya baca mengenai pembatalan ceramah, saya sendiri pun terperanjat’’ – MB Negeri Sembilan

SIAPA sebenarnya mempunyai kuasa lebih besar daripada Menteri Besar Negeri Sembilan dan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) untuk membatalkan ceramah pendakwah bebas Ustaz Wadi Annuar yang dijadualkan berlangsu di Masjid Sri Sendayan, Sabtu ini.

Persoalan itu timbul apabila, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun menafikan campur tangan dalam isu pembatalan ceramah agama tersebut.

Beliau berkata, pihaknya tidak terbabit dan tidak mempunyai maklumat berkaitan program ceramah agama Healing De’ Masjid oleh penceramah bebas terkenal itu.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun

“Saya tidak tahu menahu mengenai perkara itu, malah tak tahu program agama yang dianjurkan setiap masjid dan penceramah yang dijemput. Perkara itu antara dia dengan pihak masjid. Apabila saya baca mengenai pembatalan ceramah, saya sendiri pun terperanjat.

“Saya harap mereka yang rasa teraniaya perlu beri penjelasan sejelas-jelasnya, jangan sampai menimbulkan fitnah kepada pihak lain, khususnya kerajaan negeri,” katanya kepada wartawan selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan EXCO di Seremban.

Isu tersebut menjadi panas apabila Ustaz Wadi  yang menjelaskan beliau sudah mendapat surat tauliah daripada MAINS menerusi satu video mendakwa ceramah itu dibatalkan walaupun semua persiapan bagi program itu sudah diatur rapi oleh pihak terbabit termasuk pengurusan Masjid Sri Sendayan dan majlis agama Islam tersebut.

Mengulas lanjut Aminuddin kesal dengan  kenyataan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker yang cuba menuding jari kepada kerajaan negeri dalam isu pembatalan ceramah terbabit.

“Saya tak tahu pun ada ceramah di Masjid Sri Sendayan dan siapa penceramahnya. Tiba-tiba keluar kenyataan seolah-olah saya yang tidak benarkan. Orang akan tanya, kenapa saya terasa? Tetapi bila orang tulis macam itu, takkan saya tak terasa, ucapan itu pun tak jelas. Kita ini orang beragama, bila berkata-kata biarlah jelas,” katanya.

Aminuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam negeri berkata, hukum fitnah sangat besar dan beliau sedia memaafkan orang lain, namun insiden seperti itu boleh rosakkan hubungan baik serta silaturahim.

“Saya tiada masalah dengan program keagamaan, malah pernah menghadiri ceramah Ustaz Wadi Annuar sebelum ini di Masjid Sikamat tanpa jemputan rasmi. Saya solat berjemaah, dengar ceramah sampai habis, malah makan bersama beliau.

“Kalau nak buat program, buatlah. Kami di kerajaan negeri sangat mengalu-alukan majlis ilmu, tetapi janganlah sampai mendatangkan kesan buruk kepada pihak lain,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img