CORETAN JUMAAT
SEMALAM ketika keluar dari sebuah ‘hypermarket’ di Jasin, Melaka, penulis terserempak dengan seorang bapa dengan anak perempuan yang berusia dalam lingkungan 10 tahun.
Kedua-dua mereka baru sahaja selesai membeli barangan dengan menggunakan Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) ‘one off’ RM100. Mereka leka membelek-belek barangan makanan yang dibeli seperti beras, gula, tepung, susu dan beberapa barangan lain.
Melihat gelagat mereka, penulis rasa sebak kerana tahu betapa gembiranya mereka dapat membeli barangan itu. Di wajah si bapa terukir senyuman begitu juga anaknya. Kedua-dua mereka menaiki motosikal yang agak usang.
‘’Ayah nak isi minyak kejab’’ kata si ayah kepada anaknya. Kebetulan stesen minyak Petronas terletak tidak jauh dari pasar raya itu. Melihat dua insan itu terlintas di hati penulis, kadang kala kita tidak tahu bersyukur dan kadang kala kita terlupa untuk berterima kasih.
Ada antara kita bertanya apa yang boleh dibeli dengan RM100 yang dimasukkan dalam Mykad kita. Kita terlupa berapa banyak wang minyak dapat dijimatkan melalui BUDI95. Tetapi bagi ayah dan anak tersebut kedua-dua amat besar ertinya kepada mereka.
Penulis percaya berjuta-juta lagi rakyat Malaysia terutamanya golongan miskin yang menerima kedua-dua nikmat itu amat bersyukur. Bayangkan setakat 17 Disember 2025 jumlah penerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) ialah 5.6 juta , jumlah kelayakan keseluruhan RM5 bilion, kadar penggunaan beli barang 99 peratus, nilai perbelanjaan RM4.59 bilion.
Manakala bagi Penghargaan SARA ‘one off’ RM100 (bayaran sekali saja) jumlah penerima 20 juta orang, kadar belanja 92 peratus, nilai perbelanjaan RM1.91 bilion.
Berdasarkan angka-angka itu, ia membuktikan ‘betapa berjasanya SARA’- program yang dilaksanakan oleh kerajaan dalam usaha mengurangkan beban rakyat. Mungkin bagi golongan berada RM100 apalah sangat.
Tetapi jangan lupa RM100 itu boleh memastikan tidak ada rakyat Malaysia akan tidur malam dengan perut kosong, dengan RM100 itu ia boleh memastikan di atas meja setiap rumah ada makanan.

Cuba perhatikan nasib sesetengah orang yang bekerja sendiri seperti berniaga kecil-kecilan atau mengambil upah melakukan sesuatu pekerjaan, apakah mereka akan menganggap RM100 itu kecil? Apakah mereka akan mengatakan RM100 itu tidak cukup? Sudah pasti tidak, sebaliknya mereka bersyukur dengan nikmat Allah SWT itu.
Justeru itulah mereka mengharapkan bantuan atau program itu diteruskan kerana sudah terbukti program yang cukup murni tersebut mengurangkan beban kewangan mereka dan memastikan ada makanan mahu dijamah setiap hari, kenderaan mereka ada minyak untuk pergi mencari rezeki.
Penulis mencoretkan semua ini selepas menyaksikan ayah dan anak tadi. Dua insan itu adalah contoh terbaik untuk kita belajar untuk bersyukur atas keprihatinan kerajaan dan berterimakasih atas program bantuan yang dilaksanakan.
Janganlah perbezaan idelogi politik menyebabkan kita melupakan segala kebaikan kerajaan atau menganggap apa yang dilakukan oleh kerajaan sememangnya satu tanggungjawab. Tetapi perlu diingatkan, kerajaan juga ada pilihan untuk tidak memberi atau mewujudkan program seumpama itu.
Namun kerajaan yang diterajui oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri tidak akan berbuat demikian. Atas sebab itulah pelbagai bantuan yang bertujuan mensejahterakan rakyat dilaksanakan dan tahun depan ia akan dipergiatkan.
Coretan ini ikhlas dari hati penulis apabila melihat gelagat ayah dan anak yang ‘diceriakan’ oleh SARA. Bagi penulis yang baik kita berilah pujian, yang kurang kita berilah teguran. Apa yang penting jangan kufur nikmat. Kalau tidak mahu berterimakasih, sekurang-kurangnya bersyukurlah kerana itulah rezeki daripada Allah SWT.
Rasulullah SAW bersabda:
“Barangsiapa yang tidak mensyukuri yang sedikit, maka ia tidak akan mampu mensyukuri sesuatu yang banyak” (HR. Ahmad).


