Abu Bakar jadi MB selesai  ‘satu episod’ krisis Perlis…separuh lagi?

KRISIS politik ‘hampir separuh’ selesai apabila Ahli Dewan Undangan  Negeri (ADUN) Kuala Perlis Abu Bakar Hamzah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar (MB) Perlis Ke-12 hari ini  di hadapan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Istana Arau.

Pelantikan beliau dilakukan ketika Perlis sedang berhadapan dengan krisis politik berikutan isu menandatangani  akuan berkanun melibatkan lima ADUN Bersatu dan tiga ADUN Pas bagi menarik sokongan terhadap Mohd Shukri Ramli sebagai Menteri Besar Perlis Ke-11. Bagaimanapun Mohd Shukri meletakkan jawatan Khamis lalu atas sebab Kesihatan.

Justeru ‘episod’ siapakah yang akan menjadi MB Perlis sudah ‘tutup buku’ . Namun ia tidak bermaksud krisis politik di negeri itu telah berakhir. Pelantikan  Abu Bakar hanyalah ‘satu episod’, ada lagi episod-episod lain iaitu ‘’apakah respons Pas terhadap pelantikan ini”?

Adakah Abu Bakar akan dapat mendapat sokongan ADUN Pas yang kini secara tidak rasmi tinggal enam orang? Adakah tiga lagi ADUN yang gugur keahlian mereka dalam Pas akan menjadi ADUN Bebas dan menyokong Abu Bakar sebelum PRK diadakan? Adakah Pas akan bertindak tidak menyertai pentadbiran kerajaan negeri, walaupun masih bersama dalam kerajaan?

Untuk rekod DUN Perlis mempunyai 15 kerusi pada PRU-15 Perikatan Nasional (PN) menang 14 kerusi – Pas (9), Bersatu (5) dan PH (1).

Apapun terpulang kepada Abu Bakar bagaimana untuk mengendalikan keadaan. Daripada tidak dilantik sebagai Exco selepas menang pilihan raya, kemudian dilantik sebagai Exco dan kini menjadi MB, sudah pasti Abu Bakar yang berusia 57 tahun amat memahami segala situasi bagi memastikan beliau pula tidak tersingkir.

Mahu tidak mahu, Abu Bakar harus memenangi semula hati Pas. Ia memandangkan beliau memerlukan sokongan ADUN Pas untuk mentadbir negeri. Abu Bakar perlu membuktikan beliau benar-benar layak berada di situ.

Penulis yakin sebagai seorang yang dikatakan cemerlang ketika menjaga portfolio pelancongan, pastinya Abu Bakar boleh menjadi MB yang jauh lebih baik daripada Mohd Shukri yang sebelum ini berhadapan dengan SD menarik sokongan daripada ADUN Bersatu.

Abu Bakar pasti tahu di mana kelemahan yang harus diperbaiki, siapa yang boleh dipercayai dan siapa yang harus dihindari. Cabaran Abu Bakar jauh lebih hebat kerana perlu membuktikan kepimpinannya mampu mengubah wajah Perlis sekaligus mengelakkan beliau masuk dalam senarai MB Perlis yang dianggap berundur ‘secara kontroversi’.

Tetapi Abu Bakar tidak mampu bersendirian, beliau wajib mendapat sokongan  ADUN-ADUN lain bukan sahaja daripada Pas malah daripada Bersatu sendiri bagi menjayakan agenda menguruskan negeri dan rakyat.

Seperkara lagi , semua orang memahami bahawa pelantikan Menteri Besar adalah kuasa mutlak Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan ia harus dihormati serta sama sekali tidak boleh dipertikaikan. Tuanku Syed Sirajuddin  sudah melaksanakan tanggungjawab baginda.

Kini terserah kepada ahli-ahli politik di Perlis bagaimana mahu menyelesaikan ‘satu lagi episod’ iaitu khususnya berkaitan hubungan antara Pas dan Bersatu. Pas pasti terkilan bukan soal jawatan MB diberi kepada Bersatu tetapi soal  semangat  setiakawan Bersatu.

Ia memandangkan lima ADUN parti itu membuat SD bersama tiga ADUN Pas bagi menyingkirkan seorang MB daripada Pas. Bagaimana pula dengan ahli-ahli Pas yang tentunya akan mendesak supaya kerjasama dengan Bersatu dikaji semula?

Setakat ini penulis percaya, keretakan kecil sudah ada, cuma ia bergantung kepada pemimpin Bersatu dan Pas untuk memastikan ia tidak menjadi ‘retak menanti belah’. Jika tidak boleh juga selesai, langkah terbaik bubarkan DUN, kedua-dua parti bertanding berasingan – selepas menang guna taktikal UMNO, biar ada kerusi sedikit dapat ‘tumpang sekaki’ jadi kerajaan.

Apapun penulis tetap berdoa yang terbaik untuk Perlis. Kepada Abu Bakar selamat bertugas, kepada Bersatu tahniah akhirnya ada seorang MB dan kepada Pas bersabarlah…biarlah rakyat menilai.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img