
KETIKA konflik antara Pas dan Bersatu – dua parti yang sama-sama berada dalam Perikatan Nasional (PN) semakin memuncak berikutan krisis politik Perlis, Pengerusi gabungan itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat keputusan meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN.
Muhyiddin sudah pasti memikirkan dengan semasak-masaknya sebelum membuat keputusan penting tersebut selepas hampir 10 tahun mengetuai PN termasuk membolehkan gabungan itu menjadi kerajaan selama 17 bulan mulai 1 Mac 2020 hingga 16 Ogos 2021.
Walaupun ketika itu sebagai Perdana Menteri, Muhyiddin berjaya membawa Malaysia keluar daripada krisis pandemik Covid-19 namun beliau terpaksa meletakkan jawatan apabila UMNO menarik sokongan terhadap beliau.
Semua itu sudah menjadi sejarah, apa yang lebih penting sekarang, ke mana PN selepas ini. Adakah Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebagai Timbalan Pengerusi PN akan mengambil laih tempat Muhyiddin atau masanya sudah tiba untuk Pas menerajui PN seperti mana desakan yang semakin kuat berkumandang.
Menyerah kepada Pas untuk menerajui PN adalah tindakan tepat, kecuali Pas sudah tawar hati untuk bersama Bersatu. Ia memandangkan walaupun Muhyiddin tidak lagi menjadi Pengerusi PN tetapi beliau adalah Presiden Bersatu yang pastinya ada kuasa untuk menentukan hala tuju politik parti tersebut. Kalau jawatan Pengerusi PN diserahkan kepada Hamzah ia ‘akan ada sedikit kekangan di situ’’.
Oleh itu bagi mengelakkan keserabutan adalah lebih baik Pas mengetuai PN dan pada masa sama mengendalikan ‘gelombang’ yang semakin kuat mahu Pas ‘menghidupkan;’ kembali Muafakat Nasional (MN)? Pas perlu memberi kata putus ke mana haluan politik mereka.
Jika mereka membuat keputusan menyertai MN, bagaimanakah dengan kedudukan ADUN Pas di Perlis? Ketika ini Pas menguasai 6 kerusi DUN manakala 5 Bersatu dan PH 1 kerusi. Asalkan Pas memiliki 9 kerusi di Perlis tetapi 3 kerusi tergugur berikutan tindakan tiga ADUN menandatangani akuan bersumpah menarik sokongan terhadap Mohd Shukri Ramli sebagai MB Perlis. Tindakan mereka melanggar Perlembagaan Pas dan menyebabkan keahlian mereka tergugur.
Atau mungkin juga jika Pas membuat keputusan bersama MN ia akan membuka kepada PRN di Perlis yang bakal menyaksikan gabungan Pas-UMNO?
Namun tidak perlu kita membuat ramalan terlalu jauh, lebih penting sekarang dengan peletakan jawatan Muhyiddin, apakah langkah Pas? Dan bagaimanakah kedudukan parti-parti lain yang sebelum ini memohon menyertai atau bekerjasama dengan PN termasuk Pejuang.
Hakikatnya biarpun apapun orang kata kepada Pas, parti itu layak untuk memimpin PN sekaligus membuka laluan untuk Pas buat pertama kali menjadi peneraju kepada sebuah gabungan politik.


