Cukuplah Akmal… lebih baik tumpu kukuhkan UMNO dalam kerajaan demi Melayu, Islam

APABILA Presiden UMNO Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi menyatakan bahawa parti itu akan kekal dalam kerajaan sehingga habis penggal dan tidak akan ‘tebuk atap’ maka seharusnya tiada lagi mana-mana pihak atau individu dalam UMNO khususnya Datuk Dr.Muhammad Akmal Saleh membangkitkan atau mendesak perkara itu.

Penulis tahu Ketua Pemuda UMNO tersebut membuat desakan itu atas pandangan peribadi serta mewakili akar umbi dan  berdasarkan kajiselidik oleh penganalisis politik Mujibu Muis yang menyatakan daripada 1,8000 responden, hanya 15 peratus responden Melayu yang sanggup menerima kerajaan antara UMNO dan DAP manakala 62 peratus menolaknya dengan keras.

 Bagaimanapun kepimpinan UMNO mempunyai pandangan berbeza. Mereka mahu terus kekal dalam Kerajaan Perpaduan. Jadi Akmal tidak perlu lagi membangkitkan soal tersebut kerana ia tak kan ke mana. Lihat sahaja respon daripada pemimpin-pemimpin UMNO khususnya yang berada dalam Kabinet, mereka menyifatkan itu pandangan peribadi Akmal.

Oleh itu Akmal tidak perlu lagi membuang masa untuk mendesak UMNO keluar daripada Kerajaan Perpaduan. Sebaliknya Akmal yang juga ADUN Merlimau itu  perlu berusaha bagaimana mahu memperkukuhkan kedudukan UMNO sebagai parti terbesar orang Melayu dalam Kerajaan Perpaduan.

 Apa yang boleh beliau lakukan ialah mencadangkan kepada kepimpinan UMNO apa yang boleh parti itu lakukan untuk memastikan Kerajaan Perpaduan terus membela nasib orang Melayu. Soal sama ada orang Melayu bersetuju atau tidak, UMNO berkawan dengan DAP itu soal kedua.

Lebih penting sekarang ialah memperkukuhkan peranan UMNO sebagai parti tunggal orang Melayu dalam kerajaan. Tak payah lagi nak bernostalgia dengan perjuangan Melayu atau penyatuan Melayu, buang masa sahaja. Perbezaan ideologi politik masih menjadi benteng kukuh halang ia berlaku.

Sebaliknya UMNO perlu membuktikan kepada orang Melayu bahawa keputusan mereka menyertai Kerajaan Perpaduan dan bertegas tidak akan meninggalkan kesepakatan itu sehingga habis penggal akan menguntungkan orang Melayu dan Islam.

Cukup-cukuplah menggunakan modal menuding jari kepada DAP. Parti itu tidak bersalah sebaliknya mereka menggunakan kelebihan kuasa politik dengan bijak apabila berada dalam kerajaan termasuk dalam Kabinet. Malah mereka juga sentiasa ‘bersatu hati’ dengan parti-parti lain demi kepentingan kaum yang mereka wakili. Adakah itu salah?..Tidak sama sekali.

Lagipun DAP tidak pernah menghalang apa juga peruntukan yang dberikan oleh kerajaan kepada orang Melayu dan institusi Islam.

Sebagai contoh:

*Belanjawan 2024 sebanyak RM1.9 bilion diperuntukan untuk pembangunan dan pengurusan hal ehwal Islam. Ini merangkumi pembinaan sekolah agama, sokongan kepada institusi pendidikan Islam dan peranan tokoh ulama serta majlis ilmu.

– Geran bantuan RM20,000 bagi setiap Sekolah Agama Rakyat berdaftar di bawah JAKIM telah dikembalikan oleh Kerajaan Perpaduan untuk menyokong peranan sekolah ini selepas digantung sejak 2003.

*Belanjawan 2025

-Kerajaan memperuntukkan RM2 bilion untuk memperkukuh pendidikan Islam termasuk sekolah rendah agama, pondok dan tahfiz.

– Sebanyak RM150 juta disalurkan untuk penyelenggaraan dan menaik taraf lebih 1,250 institusi pendidikan Islam berdaftar, termasuk Sekolah Agama Rakyat dan pusat tahfiz.

Belanjawan 2026

-Kerajaan mengumumkan peruntukan RM2.6 biliion khusus untuk Pembangunan Islam  yang merangkumi pendidikan Islam, pembangunan masjid dan peningkatan kefahaman Islam berpandukan prinsip MADANI. Dalam jumlah ini, RM150 juta diperuntukkan untuk menambah baik prasarana sekolah agama rakyat, maahad tahfiz dan pondok berdaftar, termasuk penggantian peralatan usang.

Begitu juga peruntukan dan bantuan kepada orang Melayu dan Bumiputera. Adakah DAP pernah membantah ia diberikan kepada orang Melayu? Tidak…sebab pada masa sama mereka juga memastikan kaum bukan Melayu tidak dipinggirkan.

Contohnya:

Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) – Bantuan tunai bulanan atau sekali bayar kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana, termasuk majoriti Melayu dan Bumiputera.

-Melayu menerima peningkatan bantuan: daripada sekitar RM4.5 bilion (2022) kepada ~RM7.1 bilion (2025) dalam agihan STR/SARA.

-Bumiputera Sabah & Sarawak meningkat daripada ~RM1.1 bilion kepada ~RM1.9 bilion.

Selain itu banyak lagi yang diberikan oleh Kerajan Perpaduan kepada orang Melayu dan bumiputera termasuklah dari segi bantuan perumahan, sokongan perniagaan dan usahawan serta pendidikan.

Penulis percaya pemimpin UMNO yang berada dalam Kabinet tentu  memainkan peranan untuk memastikan Kerajaan Perpaduan melaksanakan itu semua, jadi modal menuding jari kepada DAP sudah tidak laku lagi. Sepatutnya UMNO belajar daripada DAP bagaimana mahu menggunakan kuasa politik demi kepentingan untuk kaum mereka perjuangkan.

Soal kaji selidik sokong tak sokong, setuju dan tidak setuju dalam apa juga kaji selidik hanya bersifat sementara, ia boleh berubah bila-bila masa khususnya menjelang pilihan raya…jadi jangan ada sesiapa yang ’syok sendiri’.

Oleh itu adalah lebih baik Akmal bersama-sama rakan dalam Pemuda UMNO membentangkan kepada rakyat khususnya orang Melayu apa hasilnya apabila UMNO berada dalam kerajaan.

Setakat ini tidak ada bukti bahawa orang Melayu dan Islam dipinggirkan atau DAP menghalang usaha kerajaan membantu golongan tersebut. Soal tindakan menggores perasaan orang Melayu pula, penulis akui ada kes seumpama itu tetapi ia agak terpencil masih boleh diurus dengan berhemah. Lagipun kalau ada yang melampau, pemimpin UMNO pun tidak akan duduk diam apatah lagi orang Melayu.

Dalam soal penyatuan Melayu,  penulis memahami keikhlasan dan impian Akmal tetapi percayalah ia tak akan ke mana setakat hari ini kerana pertimbangan politik mengatasi segala-galanya.

Oleh itu cukup-cukuplah..hentikan desakan UMNO keluar kerajaan, sebaliknya tumpukan perhatian memperkukuhkan UMNO sebagai pejuang orang Melayu dan Islam dalam Kerajaan MADANI…itu lebih baik.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img