
KONVENSYEN Khas Pemuda UMNO pada Ahad lalu ternyata memberikan impak kepada perjuangan politik Ketuanya, Datuk Dr.Muhammad Akmal Saleh.
Kenyataan beliau yang menggesa UMNO keluar daripada Kerajaan Perpaduan ternyata tidak begitu disenangi bukan sahaja oleh parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH) tetapi juga dalam UMNO itu sendiri.
Apabila beliau ‘diserang’ oleh Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Pemuda DAP kerana membuat kenyataan tersebut, tiada siapapun membela beliau. Yang bersuara sahabatnya ADUN Duyong, Mohd Noor Helmy memberi amaran kepada mana-mana pihak agar tidak berlebih-lebihan menyerang Ketua Pemuda UMNO terutama di media sosial miliknya (Mohd Noor).
Selebihnya Akmal hanya dilihat sebagai ‘budak nakal’ yang mahu merosakkan kesepakatan yang dicapai dalam Kerajaan Perpaduan melibatkan UMNO, PKR, DAP, Amanah dan parti-parti dari Sarawak.
Apabila Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, UMNO akan kekal dalam Kerajaan Perpaduan dan tidak akan tutup atap maka berhamburlah pujian kepada Presiden UMNO itu manakala Akmal pula terus dikritik.
Berikutan itu semalam, Akmal membayangkan beliau mahu mengundur diri, mungkin juga tempias daripada apa yang berlaku dan hari ini Ahmad Zahid meminta Pemuda UMNO termasuk Akmal terbuka meraikan perbezaan pandangan dan berdepan kritikan walaupun tidak sehaluan.
Namun Akmal melalui Facebook membalas kenyataan Ahmad Zahid dengan menegaskan, ‘’ Kritikan dan prinsip dua perkara berbeza. Kritik selama ini pun saya dikritik dan saya tidak ada masalah malah saya melawan lagi. Tetapi prinsip saya tidak akan pernah berganjak walau seinci. Itu bezanya’’.
Catatan di Facebook semalam dan hari ini pastinya mempunyai maksud yang tersurat tersirat. Yang pasti Akmal tidak perlu layan desakan Pemuda DAP untuk meletakkan jawatan Exco kerana Kerajaan Melaka adalah milik multak UMNO… DAP ‘hanya menumpang’. Akmal juga tidak perlu meletakkan jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO.
Sebaliknya Akmal perlu kekal dalam kedua-dua perjuangan itu. UMNO memerlukan lebih ramai lagi orang seperti Akmal. UMNO perlukan pemimpin muda seperti Akmal. Tetapi persoalannya apakah hala tuju yang akan dipilih oleh Akmal? Usahlah bermadah undur selangkah bukan bererti mengalah.. semua itu hanya sandiwara…kita tunggu apa langkah Akmal di Perhimpunan Agung UMNO minggu depan…


