OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang dikhuatiri lemas dihanyutkan ombak di Pantai Batu Rakit, Kuala Nerus petang semalam, diteruskan pagi ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerus, Azmi Omar berkata, usaha pencarian itu diperluas sehingga ke kawasan sepanjang lapan kilometer di Pantai Batu Rakit.
Beliau memberitahu, sebanyak 26 anggota penyelamat digerakkan untuk kerja-kerja pencarian menggunakan bot jenis kevlar.
“Anggota terlibat termasuk daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan pasukan bomba sukarela.
“Kita berdepan sedikit kesukaran berikutan keadaan cuaca dan ombak besar sejak malam tadi,” katanya ketika ditemui di Pusat Kawalan Bomba (PKB) di Pantai Batu Rakit hari ini.
Azmi berkata, operasi giat diteruskan pasukan SAR di kawasan pesisir pantai dan laut untuk mengesan mangsa.
Dalam kejadian kira-kira 6.43 petang semalam, seorang kanak-kanak Muhammad Zarif Mohd Hazahari dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan ombak.
Ketika kejadian, kanak-kanak itu sedang bermain di tepi pantai bersama ibu saudaranya dan mangsa yang ingin membasuh kaki di gigi air dihanyutkan ombak sebelum hilang dan dipercayai lemas di kawasan berkenaan.


