KETIKA dunia sedang memberi perhatian terhadap perang Iran menentang Amerika Syarikat dan Israel, ketika dunia sedang bersedia berhadapan dengan krisis tenaga global dan ketika dunia sedang berusaha mencari jalan supaya konflik di Asia Barat tidak merebak, di Selatan Thailand, kelompok puak pemisah terus mengganas.
Sejak 20 Mac lalu sehingga 18 April, saban hari ada sahaja mangsa yang menjadi sasaran kelompok puak pemisah. Tiada siapapun terkecuali sama ada orang awam, kakitangan kerajaan atau yang sudah bersara daripada perkhidmatan tetap menjadi korban kepada ‘kegilaan’ puak itu yang mungkin mahu menunjukkan mereka masih wujud dan kononnya masih ada kekuatan.
Malangnya turut dibunuh ialah warga emas berusia 61 tahun di Raman, Yala pada 26 Mac lalu dan terbaru 20 April seorang bekas anggota RELA mati ditembak di Daerah Khapo, Wilayah Pattani. Sebelum itu pada 20 Mac, seorang anggota polis terbujur kaku selepas mati ditembak oleh puak pemisah.
Ternyata kedamaian yang diimpikan, keamanan yang diidamkan untuk wujud di Selatan Thailand masih lagi menjadi sekadar mimpi. Setakat ini pihak berkuasa Thailand hanya menyebut ‘puak pengganas’ bertanggungjawab dalam semua kejadian itu termasuklah kejadian membakar tayar di Bacho, Narathiwat dan menulis perkataan ‘Patani Merdeka’ di Muang, Pattani.
Persoalannya sesiapa sebenarnya bertanggungjawab? Apakah Barisan Revolusi Nasional (BRN) atau ada puak pemisah lain yang tidak diketahui siapa mereka atau ada kelompok yang sengaja mengambil kesempatan bagi mengeruhkan keadaan di Selatan Thailand?
Malang sekali, kedamaian di wilayah itu hanya seketika iaitu sewaktu Ramadan dan Syawal selepas itu puak pemisah kembali menggila? Soalnya kenapa BRN langsung tidak memberi reaksi apa-apa terhadap kejadian-kejadian yang berlaku? Apakah ia melibatkan BRN atau tidak?
Ramai tertanya-tanya siapa sebenarnya pelaku keganasan di Selatan Thailand itu. Adakah BRN atau ada puak pemisah lain yang ‘tertinggal’ untuk dibawa masuk dalam proses rundingan damai dengan pemerintah Thailand? Kalau ada…siapa mereka?
Justeru BRN perlu bersuara dan menyatakan pendirian mereka kecualilah jika BRN sendiri terlibat. Jika BRN terlibat apa motif mereka? Apakah mahu menunjukkan kekuatan? Apakah mahu memberi tekanan kepada pemerintah baharu Thailand di bawah kepimpinan Anuthin Charnvirakul yang menubuhkan Kabinet beliau pada 30 Mac lalu?
Sekali lagi harus diperingatkan bahawa biarpun proses rundingan damai sebelum ini belum mencapai satu keputusan atau penyelesaian yang betul-betul jitu berkaitan situasi di Selatan Thailand, namun pemerintah Thailand sama sekali tidak pernah berputus asa untuk berunding.
Penulis percaya Anuthin juga mempunyai hasrat yang sama sebab itulah Perdana Menteri Thailand itu bersedia turun ke Selatan Thailand untuk lawatan kerja sehari pada 18 April bagi meninjau situasi di wilayah tersebut termasuk projek pembangunan yang sedang dilaksanakan.
Dalam lawatan itu,Anutin menegaskan komitmen kerajaan untuk menangani isu berpanjangan di selatan negara itu melalui pendekatan “faham, dekati dan bangunkan”.
Menurut jurucakap kerajaan, Ratchada Thanadirek, perkara itu disampaikan Anutin ketika lawatan kerja tersebut termasuk mempengerusikan mesyuarat di Ibupejabat Operasi Keselanatan Dalam Negeri Pemerintah Wilayah Tentera Keempat di Pattani.
Dalam taklimat yang diterima, Anutin dimaklumkan bahawa insiden keselamatan sepanjang bulan Ramadan tahun ini menunjukkan penurunan berbanding tahun lalu, meskipun gangguan sporadik masih berlaku di beberapa kawasan.
Beliau turut menggesa penyertaan lebih luas masyarakat dalam pembangunan tempatan, selain mengangkat identiti budaya unik rantau itu yang menggabungkan pengaruh Thai, Melayu dan Cina.
Anutin memuji penganjuran Malayu Raya 2026 sebagai platform selamat dan kreatif untuk golongan muda berkumpul, sambil memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus menyokong inisiatif pelbagai budaya seperti itu.
Dalam perkembangan sama, Anutin secara terbuka memohon maaf kepada orang ramai susulan kenyataan kontroversi oleh Komander Wilayah Tentera Keempat, Leftenan Jeneral Narathip Poynok, yang didakwa mengaitkan institusi pendidikan Islam sebagai tempat penyemaian keganasan.
Beliau berkata, perbincangan telah diadakan dengan komander berkenaan yang selama ini berdedikasi dalam tugasnya. Namun, tekanan kerja dan tuntutan tinggi daripada kerajaan pusat mungkin menyebabkan kenyataan yang diberikan tidak lengkap atau kurang tepat.
“Tiada niat jahat di sebalik kenyataan tersebut,” kata Anutin yang turut menjelaskan perkara itu kepada pengerusi majlis penasihat Pusat Pentadbiran Sempadan Selatan serta wakil persatuan sekolah swasta selatan, bahawa kenyataan tersebut tidak merujuk kepada semua institusi ‘pondok’, sebaliknya hanya melibatkan kawasan tertentu yang bermasalah.
Berdasarkan keikhlasan dan komitmen yang ditunjukkan oleh Anuthin adalah tidak wajar sama sekali mana-mana puak pemisah khususnya BRN terus mencetuskan kekacauan di Selatan Thailand.
Mereka bukannya tidak mempunyai peluang atau ruang untuk mereka mencari perdamaian dan mencipta keamanan di wilayah itu. Sikap terbuka pemerintah Thailand dan Anuthin sudah menjadi bukti, ia terbuka luas.
Oleh itu, tidak kiralah BRN ataupun mana-mana pihak pemisah, carilah jalan untuk berdamai. Ia memandangkan pendekatan melakukan keganasan bagi memberi tekanan kepada pemerintah Thailand adalah kerja sia-sia.
Fikirkanlah sudah berbelas-belas tahun mereka melakukan cara yang sama, sudah beribu-ribu orang menjadi mangsa tetapi wilayah itu tidak aman dan tuntutan puak pemisah tidak juga berjaya.
Seharusnya itu sudah menjadi isyarat kepada mereka untuk menyelesaikan tuntutan dan mencapai impian melalui jalan damai dengan menjayakan proses rundingan bersama Pemerintah Thailand.
Penulis percaya, BRN juga sudah letih dengan perjuangan sia-sia tetapi mungkin keegoan dan keangkuhan menghalang hasrat untuk menghentikan perbuatan itu namun dalam Islam, Allah SWT mahu kita mencari jalan damai termasuklah dengan kelompok dianggap musuh kita.
Tetapi Pemerintah Thailand bukanlah musuh, Pemerintah Thailand bukanlah penjajah tetapi Pemerintah Thailand hanya berusaha mempertahankan kedaulatan wilayah negara itu dalam menjalankan tanggungjawab sebagai kerajaan yang saha. Atas sebab itulah mereka bersedia berunding dengan puak pemisah yang menyaksikan Malaysia sebagai fasilitator.
Justeru diharapkan BRN atau mana-mana puak pemisah menjadikan pentadbiran baharu Thailand di bawah Anuthin sebagai peluang untuk memulihkan keadaan di Selatan Thailand. Hentikanlah keganasan, hentikanlah pembunuhan, hentikanlah kekacauan…semua itu tidak menguntungkan sesiapa, sebaliknya hanya menggugat kehidupan dan masa depan penduduk Islam di wilayah itu.
Selain itu, BRN atau kumpulan-kumpulan lain seharusnya mengambil peluang penting ini untuk memujuk ahli-ahli mereka agar kembali ke pangkuan masyarakat sama-sama membangunkan kawasan wilayah sempadan selatan Thai untuk membina masa depan yang baik bagi anak cucu kaum Melayu dalam kawasan tersebut.


