
ISU rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa dalam Angkatan Tentera Makaysia (ATM) semakin panas apabila hari ini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM dilaporkan berkata, seorang lagi pegawai tertinggi pasukan itu dijangka didakwa di mahkamah dalam masa terdekat.
Pegawai tertinggi itu disiasat dalam penyelewengan dana berbeza dengan kes bekas Panglima Tentera Darat (PTD) yang sedang disiasat oleh SPRM ketika ini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan perkara itu dan memaklumkan siasatan kes itu sudah hampir lengkap. Sebelum ini SPRM juga sudah menahan bekas PTD dan dua isterinya berkaitan tender perolehan Tentera Darat.
Sememangnya rakyat mengharapkan ketegasan SPRM dalam membanteras segala amalan rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa habis-habisan dalam ATM kerana ia melibatkan sebuah institusi penting pertahanan negara.
Atas sebab itulah tidak boleh ada kompromi atau tolak ansur dalam perkara ini. Tidak kisah apapun pangkat mereka, tidak kira apapun bintang di bahu mereka, yang pasti jika mereka terlibat dalam penyelewengan, salahguna kuasa dan rasuah, mereka harus ‘dipakaikan baju oren’ dan diseret ke muka pengadilan.
Siasatan bukan sahaja harus tertumpu kepada yang masih berkhidmat malah yang sudah bersarapun harus disiasat. Ada dakwaan bahawa apa yang berlaku sudah menjadi ‘kartel’ dalam Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan ATM.
Penulis tidak berhasrat menimbulkan spekulasi tetapi hanya memaparkan bagaimana kes ini benar-benar mendapat perhatian rakyat. Berpuluh-puluh akaun Tik Tok diwujudkan khusus untuk menyebarkan tindakan tegas SPRM dan pada masa sama mendedahkan beberapa maklumat berkaitan kes tersebut.
Keadaan itu membuktikan rakyat khususnya mereka yang berada dalam ATM tidak kira apapun pangkat, gembira dengan tindakan SPRM. Mungkin selama ini mereka tahu atau mendengar cerita tetapi tidak berani mendedahkan atau memberitahu sesiapa.
Berikutan itu terdapat juga ‘cakap-cakap’ mengatakan ‘kartel’ ini pernah bermesyuarat di luar negara bagi membincangkan soal projek tetapi biarlah SPRM menyiasat kesahihannya lagipun Chegu Bard pun sudah dedahkan.
Persoalannya berapa ramai lagi mereka bertaraf ‘Panglima’ akan disiasat dan dibawa ke muka pengadilan?
Ketika ditanya soalan ini, satu sumber berkata, ramai lagi akan kena jika SPRM menyiasat dakwaan rangkaian rasuah yang berlaku dalam ATM.
‘’Tidak mustahil dua tiga orang bertaraf ‘Jeneral’ akan ditahan kerana terlibat dalam perbuatan itu khususnya dalam kes tender perolehan,tetapi semua itu bergantung kepada siasatan SPRM’’ kata sumber tersebut.
Lagipun Azam pun sudah menegaskan, ‘’ Mula-mula siasatan ke arah beliau dahulu, selepas itu akan ada rentetan lain.
“Kerana ini satu perkara yang tidak boleh dibiarkan. Kalau saya tidak ambil tindakan akan timbul persepsi dan kedua saya akan berasa bersalah apabila tanggungjawab saya tidak tertunai.’’
Apapun biarlah SPRM melakukan siasatan lagipun dari semasa ke semasa penulis yakin agensi itu mendapat banyak maklumat seperti mana mereka berjaya menyita emas, wang tunai dan pelbagai matawang asing serta kenderaan SVR yang kesemuanya bernilai RM6.9 juta serta terbaru hari ini menyita 23 jam tangan pelbagai model dan mewah yang ditemui dalam dua bagasi itu dipercayai bernilai kira-kira RM2 juta.
Berilah keyakinan kepada SPRM untuk menyiasat pegawai dan bekas pegawai ATM yang terlibat. Apa yang penting ‘wabak’ tersebut harus dihapuskan sama sekali daripada pasukan berkenaan, jangan tinggal seorangpun ‘pembawanya.


