
HARI ini buat sekelian kalinya, Tan Sri Abdul Hadi Awang dengan nada tegas mahukan mesyuarat tergempar Perikatan Nasional (PN) diadakan berikutan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN.
Abdul Hadi yang merupakan Presiden Pas berkata, beliau sudah menerima surat peletakan jawatan daripada Muhyiddin bertarikh 30 Disember lalu dan berkuatkuasa pada 1 Januari 2026. Abdul Hadi yang juga Timbalan Pengerusi PN turut menegaskan, mesyuarat tergempar itu perlu diadakan untuk menerima dan melantik Pengerusi baharu.
Maknanya tidak timbul soal pujuk memujuk daripada Pas atau langkah bagi membolehkan Muhyiddin melakukan ‘u-turn’ kerana Abdul Hadi sudah menegaskan, Pas menghormati dan menerima keputusan yang diambil oleh Ahli Parlimen Pagoh itu serta merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas segala khidmat dan jasa bakti yang dicurahkan sepanjang Muhyiddin menerajui PN.
Bagaimanapun dikatakan ada gerakan berjalan dalam Bersatu sebaik sahaja Muhyiddin balik dari London apabila dikhabarkan berlaku pertemuan dalam kalangan pemimpin parti itu untuk mencari jalan bagaimana mahu mengekalkan beliau sebagai Pengerusi PN.
Dikatakan juga ada usaha meminta jasa baik Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) untuk mengundi atau bersuara bagi menyokong Muhyiddin. Bagaimanapun agenda itu mungkin tidak kesampaian memandangkan Abdul Hadi awal-awal lagi sudah menyatakan mesyuarat tergempar itu mempunyai dua agenda iaitu menerima dan mengesahkan peletakan jawatan serta melantik Pengerusi PN.
Maknanya Pas yang merupakan parti tonggak dalam PN dan ‘pemegang nyawa’ politik PN sudah nekad serta muktamad untuk melantik Pengerusi baharu sekaligus tidak timbul soal Muhyiddin akan melakukan ‘u-turn’. Lagipun dalam pertemuan antara pemimpin Bersatu difahamkan ada antara mereka membantah jika Muhyiddin mahu berbuat demikian kerana ia boleh menjejaskan imej beliau.
Lagipun berikutan tindakan Muhyiddin meletakkan jawatan, sekurang-kurangnya empat pemimpin lain yang mempunyai jawatan dalam PN turut berbuat demikian. Ia tindakan yang baik kerana menunjukkan pemahaman terhadap organisasi.
Justeru amat baik kalau sikap itu diteruskan supaya tiada ‘u-turn’ berlaku dalam keputusan oleh Muhyiddin. Ini kerana ia bukan sahaja soal imej tetapi soal setiakawan Bersatu terhadap Pas sekali lagi akan diuji. Setelah semangat itu gagal diterjemahkan di Perlis.
Kenyataan Abdul Hadi dua minggu lalu dan terbaru hari ini menunjukkan Pas sudah bersedia mengambil alih kepimpinan PN. Apa yang Pas akan lakukan bukannya satu rampasan kuasa atau melalui akuan bersumpah tetapi melunaskan prosedur biasa apabila seorang penyandang jawatan berundur maka pengganti harus dicari.
Atas sebab itulah Pas bersedia menerajui PN dan mencalonkan salah seorang pemimpin menjadi Pengerusi gabungan tersebut. Setakat ini penulis difahamkan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Samsuri Mokhtar dikatakan menjadi pilihan Pas …memetik kata seorang pemimpin kanan Pas secara berseloroh, ‘’Abdul Hadi, Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan seorang lagi Naib Presiden Datuk Idris Ahmad ‘tidak sesuai kerana dianggap berimej Taliban’,’’.
Bagaimanapun pemilihan Samsuri dikatakan tidak disenangi oleh pemimpin Bersatu kerana beliau hanya Naib Presiden Pas bukannya Presiden parti. Malah ada cakap-cakap dalam kalangan Bersatu berbunyi, ‘’tak kan Presiden nak kena dengar arahan Naib Presiden’’.
Jika keadaan isu itu menjadi penghalang, mungkin sahaja Abdul Hadi mengambil alih jawatan Pengerusi PN tetapi akan dibantu oleh Samsuri dan pemimpin Bersatu, ia sekaligus membolehkan tidak timbul soal mahu mewujudkan Pengerusi interim disebabkan tiada calon bertaraf Presiden.
Namun harus diingat dalam Perlembagaan PN sama sekali tidak menyatakan Pengerusi PN mesti seorang Presiden parti.Oleh itu Pas berhak mencalonkan sesiapa sahaja menduduki jawatan itu.
Apapun dari segi organisasi Pas dilihat paling sesuai menerajui PN kerana memiliki kerusi Parlimen terbanyak tambahan pula inilah masanya untuk Muhyiddin dan Bersatu membalas kembali kesediaan Pas menyokong beliau sebagai Pengerusi PN selama ini dan memilih Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebagai Ketua Pembangkang.
Kesimpulannya, diharapkan Bersatu tidak akan melakukan manuver ‘aneh-aneh’ dalam usaha mengekalkan Muhyiddin sebagai Pengerusi PN.Muhyiddin sudah membuat keputusan, Pas menghormatinya, pasti ia ada hikmah khususnya bagi membolehkan Muhyiddin menumpu perhatian meredakan ‘perang saudara’ dalam Bersatu yang kini semakin memuncak.
‘Tak bestlah’ kalau Muhyiddin terus ‘diminta’ kekal jadi Pengerusi PN sedangkan parti sendiri berantakan. Penulis percaya Muhyiddin pasti mengetahui yang mana satu harus diutamakan memulihkan Bersatu sedang bermasalah atau menguruskan PN yang tiada masalah…tetapi boleh jadi masalah kalau berlakunya ‘u-turn’.


