FOKUS
SEMPENA PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 2026
SEMALAM Presiden UMNO Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi menarik perhatian apabila berkata:
“Apabila Almarhum Nik Aziz menyebutkan UMNO jika satu ketika nanti meletakkan asas Islam dalam perlembagaannya maka Pas akan dibubarkan. Saya anggap itu wasiat, (sebab itu) apabila saya mengambil alih kepimpinan UMNO, itu perkara pertama yang saya lakukan. Meletakkan soal Islam dalam Perlembagaan UMNO.
“Tapi, Pas belum terbubar lagilah. Saya harap (PAS) akan terbubar dengan sendiri,” katanya ketika berucap dalam majlis perasmian penutup Multaqa Ilmuwan Islam Malaysia di Pusat Dagangan Dunia (WTC).
Kenyataan Ahmad Zahid sama ada beliau benar-benar maksud sedemikian atau tidak, terpulang kepada tafsiran masing-masing, mungkin juga Timbalan Perdana Menteri itu berseloroh…kalau beliau bermaksud berseloroh itu lebih baik, jika tidak kenyataan itu hanya akan menjadi bahan jenaka sahaja.
Beberapa pemimpin Pas memberi reaksi ringkas terhadap kenyataan Ahmad Zahid apabila menyatakan, jika berbanding prestasi dalam pilihan raya khususnya selepas PRU-15 jangka hayat Pas dijangka lebih lama daripada UMNO, namun mereka mengharapkan UMNO terus kekal.
Sebagai orang Melayu, penulis juga berharap sedemikian kerana sebelum ini belum ada parti-parti bukan Melayu berharap saingan mereka terbubar contohnya tak pernah pulak DAP minta MCA dan Gerakan terbubar sebab DAP menjadi parti dominan dalam kalangan pengundi Cina.
Oleh itu anggap sahaja kenyataan Ahmad Zahid sebahagian ‘taktikal’ untuk menarik perhatian hadirin memandangkan beliau berada dalam suasana menjelang Perhmpunan Agung UMNO (PAU) yang bermula hari ini.
PAU 2026 kali ini amat penting kerana kalau mengikut tempoh, Pilihan Raya Umum (PRU-16) perlu diadakan sebelum atau selewat-lewatnya Disember 2027 maknanya UMNO ada tempoh 23 bulan untuk membuat persiapan bagi menghadapi pilihan raya tersebut.
UMNO perlu menebus prestasi buruknya dalam PRU-15 apabila TIDAK ADA SEORANG PUN AHLI PARLIMEN di Perlis, Selangor,Kedah, Kelantan, Terengganu dan Melaka. UMNO hanya memerintah SECARA MUTLAK di Melaka dan Johor manakala di Pahang dan Perak UMNO menjadi Menteri Besar melalui kesepakatan ‘Kerajaan Perpaduan’ selepas tidak memiliki kerusi mencukupi menubuhkan kerajaan.
Berikutan kesepakatan yang wujud melalui kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) menubuhkan Kerajaan Perpaduan, impian UMNO untuk kembali bangkit dan dominan dalam Kerajaan Pusat mungkin tidak akan kesampaian.
PAU kali ini perlu dijadikan medan untuk menyusun strategi bagaimana mahu memposisikan UMNO sebagai persiapan menghadapi PRU-16 tahun. Jangan ingat 23 bulan itu satu tempoh yang panjang. Politik Malaysia semakin dinamik sebagai itulah pemimpin-pemimpin UMNO semakin selesa dalam Kerajaan Perpaduan dan sebahagian besar mereka mengharapkan kerjasama ini berterusan sehinggalah selepas PRU-16.
Tidak perlu beretorik lagi soal kembali dominan atau bercita-cita menduduki jawatan Perdana Menteri – setakat ini mahu bermimpi tidak ada masalah ia percuma tetapi realitinya ia sukar dicapai. Ia memandangkan UMNO sudah tidak ada kekuatan lagi untuk bergerak solo apatah lagi menjadi peneraju utama sama ada dalam gabungan mahu kerjasama.
Atas sebab itulah PAU 2026 ini penting. Ahli dan penyokong UMNO mahu tahu secara muktamad ke mana arah tuju UMNO bermula pada tahun ini hinggalah selepas PRU-16. Tidak boleh sekadar membuat kenyataan akan kekal dengan kerajaan sedia ada sehingga PRU-16 dan akan menentukan kedudukan selepas pilihan raya selesai.
Perlu ada kata muktamad, kalau mahu terus kekal bersama Kerajaan Perpaduan sehingga selepas PRU-16 pun tidak ada masalah, sekarangpun UMNO ok sahaja hinggakan bila ada pemimpin cadangkan keluar daripada Kerajaan Perpaduan…’kelam-kabut’ segelintir pemimpin UMNO termasuk di peringkat negeri ‘membelasah Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr.Muhammad Akmal Saleh.
Tiada salahnya jika UMNO membuat keputusan strategik untuk menjadi parti Melayu terbesar dalam ‘kerjasama’ dengan PH dan parti-parti lain di Sabah serta Sarawak, jika itu boleh mendatangkan keutungan politik kepada UMNO.
Soal Melayu dan Islam tidak perlu bimbang ternyata Kerajaan Perpaduan sudah membuktikan ia terpelihara manakala UMNOpun menukar dasar kepada Islam di dalam Perlembagaannya sehingga harap ‘Pas terbubar dengan sendiri’’. Jadi apa nak risau lagi..
Berikutan itu, PAU 2026 perlu ada kata pemutus ke mana UMNO dalam menuju PRU-16. Ia bagi memudahkan ahli-ahli UMNO mengatur strategi mereka. Dan paling penting perlu ingat, penentuan bila PRU-16 bukan di tangan UMNO tetapi di tangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. UMNO hanya perlu akur apa sahaja keputusan Perdana Menteri.
Kesimpulannya, PAU 2026 adalah penting untuk elak UMNO ‘ditapau’ dalam PRU-16
SELAMAT BERSIDANG!


