KERJASAMA politik sama ada dalam Kerajaan Perpaduan hari ini, atau apa jua bentuk pakatan masa hadapan, bukanlah tiket percuma untuk mana-mana pihak untuk melunakkan prinsip asal UMNO.
Sehubungan itu Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan, UMNO perlu menghantar isyarat yang jelas, keras, dan tuntas, khususnya kepada golongan berhaluan kiri, kelompok liberal, atau sekutu politik yang cuba menangguk di air keruh.
Ketika berucap pada Perasmian Serentak Perhimpunan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Mohamad mengingatkan kelompok tersebut jangan sesekali cabar Garis Merah (Red Line) iaitu Hak Keistimewaan Melayu dan Bumiputera, Kesucian Agama Islam, dan Kedaulatan Raja-Raja Melayu.
Mengenai keistimewaan orang Melayu, Mohamad menegaskan, ia bukan isu rasisme; tetapi adalah asas Perlembagaan dan Kontrak Sosial yang telah membina negara ini.
‘’UMNO tidak dibentuk untuk menjadi apologetik dalam mempertahankan hak bangsa. Rakan-rakan politik, terutamanya dari ideologi yang berbeza, perlu faham bahawa menyentuh atau mempertikaikan hak keistimewaan ini adalah satu pengisytiharan perang terhadap nurani orang Melayu. Kita boleh berkongsi kuasa, tetapi kita tidak akan berkongsi atau menggadaikan maruah bangsa,’’ katanya.
Menyentuh soal kesucian Islam, kata beliau yang juga Menteri Luar, Islam sebagai Agama Persekutuan adalah tiang seri negara.
Oleh itu kata beliau sebarang cubaan untuk menyamaratakan agama, membawa agenda pluralisme yang melampau, atau memperlekehkan institusi Islam atas nama “hak asasi” atau “kebebasan bersuara” tidak akan diterima.
‘’UMNO akan menjadi benteng paling hadapan, yang akan menentang sebarang dakyah yang cuba merungkaikan kedudukan Islam di tanah air ini,’’ katanya.
Mohamad seterusnya mengulas mengenai Kedaulatan Raja-Raja Melayu , beliau menegaskan institusi diraja bukan sekadar simbol tetapi adalah payung kedaulatan negara.
‘’Golongan yang cuba bersikap kurang ajar, menyindir, atau memanipulasi sentimen, untuk merendahkan martabat Raja-Raja Melayu, perlu sedar bahawa mereka sedang bermain dengan api.
‘’UMNO lahir dari istana dan rakyat; kesetiaan kami kepada Raja tidak berbelah bahagi.,’’ tegasnya.
Brerikutan itu, beliau dalam nada tegas, memperingatkan rakan-rakan di dalam Kerajaan Perpaduan dengan berkata;
‘’ Jangan sangka kerana kita berada dalam satu kabinet, UMNO sudah tumpul taringnya. Jangan sangka kerana kita mahu kestabilan politik, kita akan pejam mata bila asas negara diganggu gugat. UMNO tidak akan diam membisu.
‘’Kita akan bangun, kita akan bersuara, dan kita akan menentang habis-habisan sesiapa jua, kawan atau lawan, yang cuba merobek tiga teras utama ini. Ini adalah amaran keras. Kita bersedia bekerjasama demi rakyat dan demi negara, tetapi jika tangan-tangan gatal mula menyentuh agama, bangsa, dan raja kami, tangan itu akan kami tepis dengan segala kekuatan yang ada.
‘’Ingat ini! Politik boleh berubah, gabungan boleh bertukar, tetapi prinsip ini kekal mati bersama UMNO. Amaran keras ini bukan sekadar retorik kosong di atas pentas. Dan prinsip “Garis Merah” ini bukan sekadar laungan semangat untuk menyedapkan hati kamu semua,’’ katanya.


