Bila PN nak lantik Pengerusi, apa kesudahannya…senyap saja?

SEMALAM tersebar foto pertemuan antara Presiden Bersatu,Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) pada 1 Januari lalu dengan Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang. Turut serta Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Tidak pastilah apa yang dibincangkan dalam pertemuan di rumah Muhyiddin di Kuala Lumpur itu, tetapi sudah tentu ia sedikit sebanyak ada kaitan dengan proses mengisi jawatan Pengerusi PN yang ditinggalkan oleh Muhyiddin.

Sudah pasti juga Abdul Hadi yang sebelum ini menghantar Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Samsuri Mokhtar bertemu dengan Muhyiddin tidak akan bertanya kenapa bekas Perdana Menteri itu kenapa beliau meletakkan jawatan.

Apapun PN mempunyai masa  tidak sampai sepuluh hari lagi untuk membuat keputusan berhubung kedudukan Pengerusi PN. Walaupun Tuan Ibrahim berkata, siapa yang dilantik akan dibuat pada bulan ini, tetapi kalau mengikut undang-undang pelantikan perlu dibuat tidak lebih daripada 25 Januari. Itu yang disebut-sebut.

Tetapi yang pasti PN perlu  beri kata putus siapa Pengerusi PN secepat mungkin. Muhyiddin sudah sah letak jawatan… surat pun sudah ada… maknanya PN kena cari pengganti bagi jawatan itu, bukannya ‘merayau-rayau’ membincangkan perkara lain seperti mahu mewujudkan Majlis Presiden. Kalaupun majlis itu hendak diwujudkan tak kanlah kuasa Pengerusi  Majlis Presiden melebihi kuasa Pengerusi PN.

Penulis bangkitkan isu ini kerana hairan apabila melihat  tiada kesepakatan antara Bersatu dan Pas dalam soal tersebut walaupun di Facebook masing-masing cuba menggambarkan  tidak ada apa-apa berlaku dengan ayat-ayat ‘Insha-Allah, Alhamdulillah’ dan lain-lain.

Sedangkan orang tahu PN kini bermasalah untuk melantik Pengerusi baharu disebabkan ada ‘Ops Taktikal-Teknikal’ untuk mengembalikan Muhyiddin sebagai Pegerusi PN.

Kalau betul beliau masih mahu memegang jawatan tersebut apa pasal  beliau meletakkan jawatan pada 1 Januari lalu. Sebagai seorang pemimpin politik yang cukup berpengalaman dan pernah menjadi Perdana Menteri, tak mungkin Muhyiddin berbuat demikian kerana tekanan. Kalau dulu semasa jadi Perdana Menteri betullah beliau tidak ada pilihan apabila UMNO menarik sokongan terhadap beliau.

Jadi penulis yakin Muhyiddin berjiwa besar untuk memastikan Pas yang mempunyai kerusi paling banyak di Parlimen dan memiliki jentera parti yang teratur dilantik menjadi pengerusi PN. Ramai pemimpin Bersatu pun setuju Pas ambil alih.

Kalaupun mahu mewujudkan Majlis Presiden, penulis fikir  biarlah pengerusi orang yang sama, tak kan Pengerusi Majlis Presiden daripada Bersatu, Pengerusi PN daripada Pas selepas itu Pengerusi Majlis Presiden ada kuasa lebih tinggi daripada Pengerusi PN …pening dibuatnya nanti.

Penulis cakap pasal Majlis Presiden sebab terbaca komen dalam media sosial yang membandingkan struktur PN dengan PH. Mereka tunjukkan bagaimana Majlis Presiden PH dianggotai oleh semua Pesiden parti. Keputusan dibuat secara kolektif berhubung apa-apa juga isu berkaitan  PKR, DAP dan Amanah.

Mereka kata kalau daripada awal PN buat struktur seperti itu tidaklah wujud masalah sekarang bila Muhyiddin meletakkan jawatan.

Sebenarnya Muhyiddin letak jawatan tidak ada masalah, yang masalahnya ialah Ops ‘Taktikal dan Teknikal’ (Ops TT) yang penulis tengok rancak diperkatakan di media-media sosial untuk mengekalkan Muhyiddin sebagai Pengerusi PN.

Penulis harap masalah ini boleh diselesaikan segera, tidak susahpun kalau semua orang cakap terus-terang,mengotakan janji dan tidak berdolak-dalik.

 Ini tidak, tulis kat Facebook lain, cakap dengan media lain, bila bertindak lain…pening semua orang …apapun sebelum 25 Januari selesaikan…jika PN tidak mahu diketawakan….lantik Pengerusi gabungan pun kecoh macam mana nak tadbir negara!

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img