PERDASAMA tolak cadangan pertukaran saham antara Sunway Berhad-IJM

PERSATUAN Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA) secara tegas menolak cadangan pengambilalihan dan pertukaran saham antara Sunway Berhad dan IJM Corporation Berhad (IJM)

Presiden PERDASAMA Mohd Azamanizam Baharon berkata, tindakan tersebut jelas merugikan kepentingan negara, merendahkan nilai sebenar IJM serta mengancam kedudukan ekuiti Bumiputera dan dana awam yang diamanahkan kepada institusi pelaburan milik rakyat.

‘’Cadangan ini bukan sekadar transaksi korporat biasa, sebaliknya melibatkan pemindahan aset strategik negara menggunakan instrumen kewangan yang berisiko tinggi dan berpotensi menjejaskan kepentingan jutaan rakyat Malaysia,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan, pada awal bulan ini Sunway mengumumkan tawaran pengambilalihan sukarela ke atas IJM bernilai kira-kira RM11 bilion, yang disusun iaitu 10% bayaran tunai (RM0.315 sesaham IJM) dan 90% bayaran melalui penerbitan saham baharu Sunway pada harga RM5.65 Sesaham.

‘’Pada zahirnya, ia kelihatan sebagai “strategic deal”, namun realitinya Sunway sedang menggunakan sahamnya yang kini diniagakan jauh lebih mahal daripada nilai aset sebenar sebagai “mata wang” untuk mengambil alih aset strategik negara.

‘’IJM Corporation Berhad, Harga saham: ± RM2.80, Nilai Aset Ketara (NTA): ±RM2.91. IJM diniagakan di bawah atau hampir nilai aset sebenar. Sunway Berhad,Harga saham: ± RM5.63, NTA: ± RM2.34 dan Sunway diniagakan pada lebih 2.4 kali ganda NTA,’’ katanya.

Keadaan itu kata beliau  menjadikan penilaian pendapatan IJM 25 kali manakala Sunway 34 kali.

‘’Ini jelas, Sunway sedang berada pada penilaian pasaran yang sangat mahal, manakala IJM pula dinilai murah. Transaksi ini secara asasnya memindahkan nilai daripada pemegang saham IJM kepada Sunway,’’ katanya.

Mohd Azamanizam menegaskan, jikactransaksi ini diteruskan, pemegang saham IJM akan menerima kira-kira 1.76 bilion saham baharu Sunway dan jumlah saham Sunway akan meningkat kepada kira-kira 8.57 bilion saham.

‘’Pegangan pemegang saham IJM dalam entity gabungan hanyalah sekitar 20.5%. Dari sudut nilai, 1 saham IJM RM2.90 ditukar kepada RM0.315 tunai. Manakala 0.502 saham Sunway ≈ RM2.835. Jumlah ≈RM3.15.

‘’Ini bermaksud, aset IJM yang bernilai sebenar RM2.91 hanya dijual dengan premium kecil, tetapi dibayar menggunakan saham Sunway yang sendiri telahdimahalkan jauh daripada nilai asetnya,’’ tegasnya.

Beliau berkata, PERDASAMA ingin menegaskan prinsip asas pasaran yang jelas iaitu jika Sunway mahu membeli IJM secara tunai, itu transaksi biasa.

‘’ Tetapi membayar menggunakan saham yang telah melonjak 2–3 kali ganda daripada nilai asas adalah isu integriti pasaran,’’ katanya.

Menurut  Mohd Azamanizam, kenaikan harga saham Sunway daripada sekitar RM1.50 kepada lebih RM5.60 dalam beberapa tahun kebelakangan ini adalah luar biasa dan menimbulkan persoalan serius, adakah kenaikan ini benar-benar organik atau telah “diposisikan” untuk digunakan dalam transaksi ini?

‘’IJM bukan syarikat biasa. Pemegang saham utamanya termasuk KWSP (EPF), PNB / ASB, KWAP dan Tabung Haji. Ini adalah institusi yang memegang amanah dan simpanan jutaan rakyat dan Bumiputera.

‘’Jika transaksi ini diteruskan, aset strategik negara berpindah tangan, tetapi rakyat hanya menerima saham minority dalam syarikat yang nilainya berisiko berada di paras tidak realistik. Sekiranya harga saham Sunway merosot pada masa hadapan, kerugian akan ditanggung oleh dana rakyat, bukan pihak pengambilalih,’’ katanya.

Sehubungan itu kata beliau, PERDASAMA menegaskan bahawa isu ini tidak boleh dianggap sebagai isu korporat semata-mata, sebaliknya tahap pegangan ekuiti Bumiputera dalam ekonomi negara sudah berada pada paras yang membimbangkan.

‘’Membenarkan transaksi seperti ini akan mempercepatkan kehilangan aset strategik Bumiputera secara kekal. Sehubungan itu, PERDASAMA mendesak  Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk campur tangan secara langsung bagi menghalang satu kesilapan dasar yang besar dan bersejarah,’’ katanya.

Beliau berkata, PERDASAMA menuntut semua proses transaksi digantung serta-merta.

‘’Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Bursa Malaysia menjalankan siasatan penuh terhadap pergerakan dan penilaian saham Sunway. KWSP, PNB, KWAP, Tabung Haji dan semua GLIC menolak dan tidak menyokong transaksi ini sehingga penilaian bebas, telus dan adil dilaksanakan.

‘’Jika Sunway benar-benar mahu memiliki IJM, buatlah tawaran tunai atau tawaran yang mencerminkan nilai sebenar IJM, bukan melalui saham yang telah dimahalkan pasaran,’’ katanya.

Mohd Azamanizam  menegaskana, Ini bukan soal kebijaksanaan kewangan atau kecekapan pasaran.

‘’Ini soal pilihan negara. Adakah kita mahu terus memiliki aset strategik atau menukarnya dengan kertas yang nilainya boleh jatuh pada bila-bila masa? PERDASAMA tidak akan berdiam diri melihat ekuiti Bumiputera dan dana rakyat dikorbankan melalui transaksi yang tidak adil, tidak seimbang dan berbahaya kepada masa depan ekonomi negara,’’ katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img