SEORANG kanak-kanak lelaki berusia empat tahun meninggal dunia selepas ditemukan lemas di kolam renang resort hotel di Jalan Pantai, Batu 4, Port Dickson semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Deputi Superintendan Mohd Ruslan Mat Kib berkata, pihaknya menerima aduan berhubung perkara itu daripada Hospital Port Dickson pada jam 7.26 malam.
Katanya, siasatan awal mendapati, kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 petang ketika mangsa bersama tiga adik-beradiknya turun mandi di kolam renang resort berkenaan ditemani ibu mereka.
“Keluarga ini datang dari Johor ke Port Dickson dan menginap selama dua hari satu malam di sebuah apartmen persendirian, di resort hotel berkenaan.
“Mangsa disedari terjatuh ke dalam kolam oleh abangnya sebelum diselamatkan orang awam dan dibawa ke hospital oleh ibunya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mohd Ruslan berkata, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 10.31 malam pada hari yang sama dan hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah akibat lemas.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.


