Kemurungan dikenal pasti punca kematian suami isteri di Sri Aman

POLIS setakat ini mengenal pasti faktor kemurungan adalah punca kematian seorang guru besar sekolah rendah di Sri Aman dan isterinya yang ditemukan di rumah mereka di Jalan Brayun di Kuching dengan kesan kecederaan serius pada bahagian tubuh pada 14 Januari lalu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah, berdasarkan keterangan keluarga, kawan dan rakan sekerja, lelaki itu dikatakan mengalami kemurungan sejak bertukar ke sekolah di Lubok Antu, Sri Aman.

Menurut beliau, laporan kimia terhadap senjata tajam yang digunakan dalam kejadian itu juga tidak menemui asid deoksiribonukleik (DNA) asing.

“Hanya DNA kedua-dua mangsa ditemukan pada senjata tajam itu, justeru, rumusan yang kita boleh buat adalah pembunuhan itu hanya membabitkan pasangan suami isteri berkenaan,” katanya selepas Perhimpunan Bulanan Pesuruhjaya Polis Sarawak di Padang Kawad, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, hari ini, lapor BH.

Pada 14 Januari lalu, pasangan suami isteri berusia 45 dan 44 tahun ditemukan meninggal dunia dengan kecederaan serius pada tubuh mereka di sebuah rumah di Taman Mutiara, Jalan Brayun, Sri Aman.

Polis menerima maklumat daripada orang awam berhubung penemuan pasangan terbabit yang tidak sedarkan diri pada jam 6.55 pagi.

Sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman bersama pegawai perubatan dari Hospital Sri Aman segera dikerahkan ke lokasi kejadian sejurus menerima maklumat itu.

Pemeriksaan awal mengesahkan kedua-dua mangsa iaitu seorang lelaki berumur 45 tahun yang bertugas sebagai guru besar dan isterinya berumur 44 tahun, seorang jururawat disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Mohamad Zainal berkata, sepanjang siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, polis merakam keterangan 30 saksi dalam kalangan ahli keluarga, jiran, kawan serta rakan sekerja kedua-dua mangsa.

Selain itu, beliau berkata, polis turut merakam keterangan pakar patologi yang melaksanakan proses bedah siasat mayat kedua-dua mangsa.

“Apa yang boleh kami simpulkan, kes itu sudah selesai kerana siasatan di lokasi kejadian tidak menemukan kesan pecah rumah atau barangan hilang jika ia kes samun.

“Polis kini hanya menunggu keputusan pemeriksaan forensik telefon bimbit kedua-dua mangsa dan laporan itu nanti mungkin membolehkan kami mengetahui lebih lanjut motif sebenar kejadian itu selain kemurungan,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img