KEBAKARAN terbuka yang merebak di tapak pelupusan sampah di Kampung Besah, Mukim Tawar, Baling menyebabkan pasukan bomba bertungkus-lumus lebih empat jam bagi mengawal api yang marak sejak tengah hari tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran terbuka pada pukul 12 tengah hari.
Beliau berkata, bahan buangan di kawasan itu membabitkan sisa buangan domestik dan kilang berhampiran.
“Operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Zulhelmi Bahari bersama lapan anggota dan turut dibantu dua anggota dengan jentera tangki air dari BBP Pengkalan Hulu, Perak.
“Cabaran utama yang kami hadapi, sampah ini macam gambut, kita padam atas, bawah tak padam dan api masih menyala sehingga sekarang sejak operasi bermula tengahari, hari ini.
“Operasi sudah melebihi empat jam dan anggaran keluasan kawasan ini adalah 0.5 hektar dan ketinggian sampah adalah sebanyak 0.6 meter manakala di bahagian belakang pula melebihi enam meter, ” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Harian Metro.
Zulkhairi berkata, faktor cuaca panas menyebabkan api terus menyala dan merebak.
Katanya, kawasan itu turut dicemari bau busuk dan asap agak tebal sehingga menjejaskan kualiti udara dan penduduk setempat.


