SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima pengiktirafan lima bintang bagi Amalan Terbaik Pengurusan Perakaunan Pusat Tanggungjawab (PTJ) Jabatan Perdana Menteri (JPM) Tahun 2025.
Pengiktirafan itu mencerminkan keupayaan SPRM dalam memastikan pengurusan kewangan organisasi dilaksanakan secara cekap, teratur dan mematuhi prosedur serta peraturan kewangan ditetapkan.
Anugerah berkenaan disampaikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar kepada wakil SPRM pada 20 Oktober lalu, sempena Program Hari Inovasi dan Kecemerlangan JPM Tahun 2026 di Cyber Event Hall, Cyberjaya.
Susulan kejayaan itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman menyampaikan anugerah berkenaan kepada Pengarah Bahagian Kewangan, Akaun dan Pembangunan (BKAP) SPRM, Siti Nor Minu dalam satu majlis di ibu pejabat SPRM di Putrajaya hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme), Datuk Junipah Wandi dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman.
Abd Halim dalam ucapan pada majlis itu berkata, pencapaian tersebut adalah hasil komitmen dan dedikasi seluruh warga kerja SPRM dalam memastikan pengurusan kewangan organisasi sentiasa mencapai tahap terbaik.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua warga kerja agensi itu atas kerjasama dan semangat berpasukan yang menjadi antara faktor kejayaan memperoleh pengiktirafan berkenaan.
“Penilaian anugerah itu dibuat berdasarkan empat kriteria utama, iaitu pematuhan kewangan, kecekapan operasi, ketepatan akaun dan pembangunan modal insan.
“Aspek pematuhan kewangan menilai tahap kepatuhan terhadap tatacara kewangan ditetapkan, manakala kecekapan operasi merangkumi prestasi bil serta kelancaran penghantaran Dokumen Akaun Terimaan (DAT),” kata Abd Halim.
Bagi ketepatan akaun, penilaian tertumpu kepada kualiti penyediaan Sijil Pengesahan Baki dan Kertas Kerja Sokongan (KKS) Penutupan Akaun.
Sementara itu, aspek pembangunan modal insan memberi penekanan kepada pelaksanaan latihan berkaitan kewangan dan perakaunan secara berterusan dalam organisasi berkenaan.
“Saya berharap pengiktirafan ini menjadi pemangkin kepada seluruh warga SPRM untuk terus mengekalkan prestasi cemerlang, selain memperkukuh amalan tadbir urus kewangan yang telus, cekap dan berakauntabiliti,” kata beliau.





