SEBANYAK 13 jalan utama di sekitar pusat bandar raya Kuala Lumpur akan ditutup dan dilencongkan secara berperingkat sempena penganjuran Program Larian Visit Malaysia Year 2026 (VMY2026), Ahad ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, langkah penutupan itu dilaksanakan bagi memastikan keselamatan peserta serta kelancaran aliran trafik sepanjang program berlangsung.
Menurut beliau, program tersebut dianjurkan bersempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan dengan objektif menyokong promosi pelancongan negara selain menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.
“Program ini membabitkan dua kategori utama iaitu Larian KL10 sejauh 10 kilometer yang berlangsung dari jam 4 pagi hingga 10 pagi dan Larian VMY2026 sejauh lima kilometer bermula pukul 3 petang hingga 11.59 malam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, antara laluan yang terlibat dengan penutupan dan lencongan trafik ialah Jalan P Ramlee, Jalan Ampang, Jalan Pinang, Jalan Kia Peng, Jalan Stonor, Jalan Conlay, Jalan Raja Chulan, Jalan Bukit Bintang, Jalan Sultan Ismail, Jalan Dang Wangi, Jalan Munshi Abdullah, Jalan Tuanku Abdul Rahman serta Jalan Persiaran Maybank.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar merancang perjalanan lebih awal, menggunakan laluan alternatif serta sentiasa mematuhi arahan anggota polis dan petugas trafik yang bertugas bagi mengelakkan kesesakan.



