SEORANG bekas pengarah eksekutif dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini atas 13 pertuduhan menyalahgunakan harta syarikat bernilai RM485,500.
Zahri Ismail, 54, mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Dazuki Ali mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan.
Mengikut semua pertuduhan, dia didakwa dengan curangnya menyalahgunakan harta milik syarikat semasa menjawat jawatan sebagai pengarah eksekutif, lapor Sinar Harian.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Atirah Mohd Azuarizanuddin dan Alis Izzati Azurin Mohd Rusdi, manakala tertuduh diwakili peguam Wan Muhammad Hafiz Wan Zawawi.
Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin rakyat tempatan, menyerahkan pasport dan dikehendaki melaporkan diri di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan setiap bulan.
Tertuduh juga dilarang mengganggu saksi sepanjang tempoh perbicaraan.
Hakim Dazuki turut menetapkan tarikh 1 Mac depan untuk sebutan semula kes.


