KERAJAAN sedang menggubal Akta Keterjaminan Makanan Negara yang akan menjadi asas perundangan kukuh bagi memelihara kedaulatan makanan negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, keterjaminan makanan menjadi tanggungjawab bersama dan penggubalan akta itu merupakan langkah inklusif dan strategik kerajaan.
“Penggubalan akta ini adalah janji dan komitmen tulus kita kepada generasi akan datang bagi memastikan Malaysia sentiasa mempunyai sistem bekalan yang mampan dan tidak akan sesekali membiarkan rakyatnya terputus bekalan makanan,” katanya.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Dasar Keterjaminan Makanan Negara 2030 (DKMN 2030) di ibu negara hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Isham Ishak.
Fadillah berkata, dunia ketika ini berdepan dengan situasi ketidaktentuan luar biasa merangkumi perubahan iklim ekstrem, ancaman penyakit dan perosak, ketegangan geopolitik serta persaingan guna tanah.
Faktor ini katanya, memberikan kesan langsung kepada kestabilan rantaian bekalan makanan global, sekali gus meningkatkan kos input dan tekanan inflasi makanan.
“Apabila kos input ini naik, ia mencetuskan kesan domino, iaitu inflasi harga makanan pada peringkat global,” katanya.
Beliau berkata, meskipun Malaysia masih berada pada kedudukan keterjaminan makanan yang stabil dengan bekalan mencukupi dan tahap kemampuan rakyat yang terkawal, kerajaan tidak boleh bersikap leka kerana pencapaian semasa bukan jaminan untuk masa hadapan.
Fadillah memberitahu, DKMN 2030 berperanan sebagai kompas utama dalam memacu transformasi sektor agromakanan negara bagi memastikan ketersediaan bekalan yang mencukupi, keselamatan dan kualiti makanan terjamin serta kelestarian alam sekitar demi kelangsungan sistem makanan negara.
Tambah beliau, dasar berkenaan turut menumpukan kepada pemerkasaan kesejahteraan petani, pesawah dan nelayan melalui pemodenan sektor pertanian, di samping menjadikan sektor agromakanan sebagai pemacu ekonomi yang berdaya saing dan penyumbang signifikan kepada pertumbuhan negara.
Selain itu, katanya, terdapat keperluan untuk beralih kepada pertanian pintar melalui pendigitalan dan penggunaan teknologi seperti dron, Internet Kebendaan (IoT) dan kecerdasan buatan bagi meningkatkan produktiviti, menarik minat golongan belia serta menjadikan pertanian sebagai kerjaya moden dan menguntungkan.
Beliau berkata, agenda keterjaminan makanan memerlukan pendekatan menyeluruh melibatkan seluruh kerajaan dan masyarakat dengan kerjasama merentas kementerian serta penglibatan sektor swasta dan institusi pengajian tinggi.
Menurut Fadillah, kerjasama ini penting bagi mengurangkan kebergantungan pada import dan memperkukuh daya tahan sistem makanan negara.
DKMN 2030 adalah kesinambungan kepada usaha transformasi sektor pertanian dengan berpandukan enam fokus utama keterjaminan makanan, iaitu ketersediaan, kebolehcapaian, penggunaan, kestabilan, kemampanan dan agensi.
Dasar ini membawa anjakan paradigma yang melangkaui aspek produktiviti dengan menekankan kemampanan melalui pertanian pintar dan amalan regeneratif, di samping melonjakkan kesejahteraan petani melalui pemodenan sektor demi menoktahkan kemiskinan.


