MAJLIS Penasihat Pengguna Negara (MPPN) menyokong langkah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk merangka peraturan baharu bagi menguatkuasakan larangan khusus pembelian petrol RON95 oleh kenderaan pendaftaran asing di stesen-stesen minyak.
Pengerusinya Mohd Khair Ngadiron berkata, MPPN berpandangan usaha itu adalah satu langkah penting bagi memastikan subsidi petrol RON95 yang diperuntukkan kerajaan benar-benar dimanfaatkan oleh rakyat Malaysia selaras dengan prinsip keadilan sosial dan perlindungan pengguna.
Beliau berkata, sepertimana dimaklumkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali kerangka perundangan sedia ada melalui Peraturan 12A pada ketika ini hanya melibatkan larangan terhadap penjualan yang membolehkan tindakan diambil terhadap stesen minyak semata-mata.

‘’Sehubungan itu, cadangan pengenalan undang-undang baharu di bawah Seksyen 6 Akta Kawalan Bekalan 1961, yang meliputi larangan bukan sahaja terhadap penjualan tetapi juga pembelian merupakan langkah yang wajar bagi memperkukuh penguatkuasaan serta menangani ketirisan subsidi,’’ katanya dalam kenyataan.
Mohd Khair menegaskan penyaluran subsidi tanpa kawalan yang berkesan boleh membuka ruang kepada ketirisan sumber awam, penyalahgunaan oleh pihak tidak layak dan beban fiskal yang akhirnya menjejaskan kepentingan pengguna domestik.
‘’Langkah ini juga dilihat sebagai usaha strategik untuk memastikan pasaran bekalan petrol kekal adil, telus dan mampan,’’ katanya.
Beliau berkata, sebagai badan penasihat utama kepada kerajaan dalam hal ehwal pengguna, MPPN akan terus menyokong dasar dan inisiatif yang melindungi hak pengguna tempatan, memperkukuh tadbir urus subsidi dan meningkatkan keberkesanan mekanisme penguatkuasaan.
‘’MPPN turut menggalakkan semua pihak termasuk pengusaha stesen minyak dan pengguna untuk memberikan kerjasama penuh bagi memastikan pelaksanaan dasar ini berjalan lancar demi kepentingan rakyat dan negara,’’ katanya.


