Pelajar lelaki dipukul, lakukan kelucahan melampau

SEORANG pelajar lelaki dipukul rakan sekolah bersama abangnya selepas dikatakan melakukan gangguan kelucahan melampau terhadap seorang pelajar perempuan di Johor Bahru, semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 2.30 petang di hadapan sebuah sekolah menengah di Larkin.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan polis dibuat mangsa pada pukul 7.13 petang.

“Polis menerima laporan pada pukul 7.13 petang semalam dibuat remaja lelaki berusia 17 tahun yang juga pelajar sekolah.

“Suspek pula warga tempatan berusia 17 tahun dan masih bersekolah bertindak memukul pengadu dengan tangan.

“Perbuatan itu dilakukan bersama abang kandungnya berusia 20 tahun dan tidak bekerja dipercayai pada pukul 2.30 petang,” katanya dalam kenyataan media, hari ini, lapor Harian Metro.

Menurut Raub, siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku susulan pengadu dikatakan terbabit dalam satu kejadian mengganggu dengan kelucahan melampau terhadap seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun yang juga pelajar sekolah itu pada pukul 2 petang kelmarin.

“Kita sahkan ada menerima laporan dibuat pelajar perempuan terbabit pada pukul 5.43 petang semalam,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, manakala kes gangguan kelucahan melampau disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, tular satu video yang dimuat naik di media sosial memaparkan kejadian terbabit.

Pada masa sama, Raub menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan video berkenaan di media sosial bagi mengelakkan salah faham atau spekulasi yang boleh menjejaskan ke harmonian masyarakat.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img