OBESITI sering dianggap sekadar isu penampilan, namun hakikatnya ia merupakan antara punca utama kepada pelbagai penyakit senyap yang menyerang tanpa amaran, khususnya dalam kalangan lelaki.
Pakar kesihatan menjelaskan bahawa obesiti meningkatkan tekanan dalam rongga abdomen, sekali gus menyumbang kepada masalah seperti buasir. Dalam masa sama, berat badan berlebihan juga berkait rapat dengan paras asid urik yang tinggi, faktor utama kepada serangan gout yang kerap.
Selain itu, obesiti turut dikaitkan dengan masalah pencernaan, radang kronik, gangguan metabolik serta risiko penyakit tidak berjangkit lain seperti darah tinggi dan diabetes — namun kebanyakannya tidak menunjukkan simptom awal yang jelas.
Fenomena ini menjadikan ramai lelaki hanya menyedari tahap kesihatan sebenar mereka apabila tubuh mula “memberi isyarat” melalui kesakitan berulang.
Aiman Amrin, berkongsi realiti pahit apabila berat badannya pernah mencecah 122 kilogram, sebelum berjaya diturunkan kepada 72 kilogram kini — satu perubahan besar yang didorong sepenuhnya oleh keinginan untuk kembali sihat.
Menurut beliau, sepanjang lebih setahun, kehidupannya terjejas akibat masalah buasir kronik serta serangan gout hampir setiap bulan, menyebabkan kesukaran untuk bergerak, bekerja dan menjalani kehidupan harian secara normal.
“Saya cuba macam-macam. Ubat, jamu, rawatan alternatif. Tapi kebanyakannya tak beri kesan. Sakit tetap datang,” katanya.
Hasrat untuk berubah bermula apabila Aiman menyedari bahawa rawatan semata-mata tidak mencukupi tanpa perubahan gaya hidup secara menyeluruh. Beliau kemudian mengambil keputusan untuk mengawal berat badan melalui pemakanan dan aktiviti fizikal yang konsisten.
Sepanjang tempoh lebih setahun, Aiman mengamalkan kaedah Intermittent Fasting (IF) 6:18 serta menjadikan senaman sebagai rutin mingguan.
“Dalam seminggu, saya akan berjoging tiga hingga empat kali, dan setiap hujung minggu saya buat long run untuk bina stamina,” jelasnya.

Dari segi pemakanan, Aiman melakukan perubahan 100 peratus dengan meninggalkan makanan berminyak, bergoreng serta makanan diproses, sebaliknya beralih kepada konsep pemakanan ‘real food’ berasaskan makanan sebenar dan minimum proses.
Beliau memilih kaedah masakan lebih sihat seperti rebus dan bakar, mengurangkan pengambilan nasi dan menggantikannya dengan sumber karbohidrat lebih bersih seperti ubi, selain lebih menekankan pengambilan protein dan sayur-sayuran berbanding karbohidrat.
Beliau juga menghentikan sepenuhnya pengambilan gula dan pemanis tambahan, sebaliknya hanya memperoleh sumber manis secara semula jadi daripada buah-buahan.
“Lelaki ni biasanya tahan. Selagi boleh jalan, kita anggap okey. Tapi bila sakit datang kerap, baru sedar badan dah tak mampu,” ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa motivasi utama menurunkan berat badan bukanlah untuk kelihatan kurus atau mengikut trend, sebaliknya demi mendapatkan semula kualiti hidup yang hilang.
“Saya tak kejar nombor di penimbang. Saya cuma nak hidup tanpa sakit,” katanya.
Dalam masa sama, Aiman turut merakamkan penghargaan kepada isteri dan ahli keluarganya yang banyak memberikan sokongan moral, dorongan berterusan serta kefahaman sepanjang proses perubahan gaya hidup tersebut.
“Sokongan isteri dan keluarga menjadi kekuatan utama saya untuk kekal konsisten, terutama ketika berdepan keletihan fizikal serta perjuangan melawan cabaran mental sepanjang proses ini,” katanya.
Kisah Aiman Amrin diharap dapat menjadi peringatan kepada golongan lelaki agar tidak memandang ringan obesiti dan berani mengambil langkah awal — kerana penyakit senyap selalunya hanya ‘bersuara’ apabila keadaan sudah serius.


