SEBUAH gudang di Jalan Kebun Sultan, Kota Bharu yang dijadikan tempat penyimpanan puluh-puluh tan limau mandarin musnah dalam kebakaran malam tadi
Selain 76.8 tan limau, turut musnah dalam kejadian itu ialah kurma dan bawang.
Jurucakap Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 9.09 malam.
Katanya, susulan itu jentera dihantar ke lokasi kejadian dan tiba pukul 9.16 malam dengan jarak untuk ke lokasi kira-kira 2.6 kilometer (km).
“Setibanya di lokasi kita dapati kebakaran berlaku membabitkan sebuah gudang dan operasi pemadaman masih lagi dijalankan setakat ini,” katanya lapor Buletin TV3.
Sementara itu, Hong Lee Feng iaitu Pengurus gudang tersebut berkata, barangan runcit serta pelbagai buah-buahan mula disimpan dalam kilang itu sejak Disember tahun lalu termasuk enam lori dan dua motosikal.
“Melihat keadaan api yang membakar kilang, saya tidak mampu berfikir apa-apa selain terdapat penuh buah-buahan di dalam gudang selain barangan runcit.
“Malah, bekalan limau mandarin untuk Tahun Baru Cina sebanyak 76.8 tan juga sudah disimpan sejak Disember semuanya musnah. Terdapat juga pelbagai jenis buah lain turut berada dalam gudang.
“Saya tidak tahu berapa nilai kerugian kerana tidak tahu apa yang selamat. Ketika kejadian gudang sudah kosong dan lebih 20 pekerja sudah pulang sejak pukul 8 malam,” katanya.
Beliau berkata, kilang yang beroperasi sejak lebih 40 tahun lalu itu menempatkan barang-barang untuk diedarkan ke lebih 30 pasar raya di Kelantan.


