BEKAS Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki melahirkan rasa syukur dengan kenyataan Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung kes ugutan jenayah membabitkannya yang diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) hari ini.
Beliau turut menyifatkan keputusan itu sekali gus mengesahkan dakwaan dibuat ahli perniagaan, Tei Jiann Cheing atau dikenali Albert Tei sebelum ini tidak mempunyai asas kukuh dan bercanggah dengan fakta serta bukti yang diperoleh pihak berkuasa.
“Saya bersyukur kerana kebenaran akhirnya terbukti. Sebagai individu diamanahkan untuk memimpin SPRM ketika itu serta melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat, saya terpaksa bersabar berdepan pelbagai persepsi negatif susulan tuduhan itu.
“Walaupun saya mempertahankan diri, terdapat pihak-pihak tertentu yang sememangnya bersikap anti terhadap saya dan SPRM yang tidak mahu menerima penjelasan berkenaan,” katanya hari ini.
Media hari ini melaporkan, AGC membuat keputusan itu selepas penelitian menyeluruh dibuat ke atas kertas siasatan berhubung aduan Albert.
Azam seterusnya berkata, dakwaan Albert itu dibuat dengan niat tidak baik serta dipercayai didalangi pihak tertentu bagi memburukkan imej agensi penguat kuasa, kerajaan dan dirinya secara peribadi.
“Bagaimanapun, saya tiada masalah untuk menerima kecaman dan kritikan pada peringkat awal kerana saya tidak gusar dengan apa yang berlaku,” katanya memaklumkan berada di pihak yang benar dan terdapat bukti menunjukkan pembohongan dilakukan Albert.
Menurutnya, perkara itu seharusnya menjadi pengajaran kepada pegawai penguat kuasa supaya terus menjalankan tugas dengan penuh integriti tanpa dipengaruhi tekanan atau kempen persepsi yang boleh melemahkan usaha penguatkuasaan undang-undang.
Azam menegaskan supaya semua pegawai penguat kuasa tidak gentar atau khuatir dalam mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak melakukan kesalahan di negara ini meski berdepan tohmahan.
Katanya, pegawai penguat kuasa perlu berani membuat keputusan berdasarkan fakta, bukti dan undang-undang sekali gus tidak takut bertindak hanya kerana berdepan tuduhan atau serangan persepsi daripada pihak yang mempunyai kepentingan tertentu.





