
PENULIS tertarik apabila dikatakan Pas mahu menjadi Pengerusi PN tetapi ditentang oleh dua parti komponen yang lain, iaitu Gerakan dan MIPP (Parti Rakyat India Malaysia).
Kalau betul apa yang dikatakan itu, penulis tertanya-tanya apa hebatnya dua parti tersebut sehingga berupaya ‘ menentang’ cadangan Pas menjadi Pengerusi PN?
Kedua-dua parti tidak memiliki satupun kerusi Parlimen tetapi mahu menentang Pas yang ada 43 kerusi Parlimen menerajui PN? Paling aneh apabila hujah yang didakwa dilontarkan ialah mereka melihat kedudukan Muhyiddin sebagai Pengerusi Majlis Presiden PN boleh mengimbangi imej Islam Pas yang lebih bersifat hardline.
Penulis tidak pasti sejauh manakah benar Gerakan dan MIPP berpendirian demikian tetapi itulah yang dicoretkan dalam Facebook.
Kalaulah betul, apa masalahnya kalau Pas bersifat hardline? Kalau Muhyiddin jadi Pengerusi Majlis Presiden apa jaminan Gerakan dan MIPP boleh pastikan kaum bukan Melayu menyokong PN seperti mana mereka menyokong PH?
Janganlah terlalu banyak bermimpi. Faktanya bukan Melayu tidak akan menyokong PN. Gerakan dan MIPP sekadar pelengkap bagi menunjukkan kononnya dalam PN ada parti pelbagai kaum. Tetapi kehadiran mereka tidak mampu menandingi DAP dalam PH, MCA dan MIC dalam BN.
Dalam keadaan itu sepatutnya tumpuan PN ialah berusaha meningkatkan dan memperkukuhkan undi orang Melayu terhadap gabungan itu, bukannya masih bersikap seperti ‘pungguk rindukan bulan’ dengan mengharapkan pengundi bukan Melayu akan mengundi PN. Sebenarnya Pas tidak kisah pun apa juga tafsiran atau tanggapan terhadap parti itu khususnya dalam perjuangan Islamnya.
Pas sudah membuktikan mereka bukanlah parti bersifat hardline. Hanya orang buta sejarah Pas sahaja akan beranggapan demikian. Ia kerana di dalam Pas ada Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP) yang dipimpin oleh bukan Melayu.
Mungkin DHPP tidak mampu memberi kemenangan kepada Pas tetapi ia membuktikan Pas tidaklah ekstrem atau hardline.
Oleh itu memberi alasan bahawa Gerakan dan MIPP menentang Pas menjadi Pengerusi PN sangat melucukan. Seperkara lagi, kalau betul lah begitu…hebat sungguh dua parti itu yang tidak ada apa-apa kerusi dan kekuatan tetapi boleh mempengaruhi pemimpin Bersatu mendengar kehendak mereka.
Tetapi penulis percaya kalau Bersatu memberi pandangan ikhlas kepada Gerakan dan MIPP berkaitan Pas, sudah pasti mereka akan menerimanya tetapi masalahnya sejak awal lagi segelintir pemimpin Bersatu ‘mendabik dada’ parti itu menjadi pengimbang kepada politik kesederhanaan. Kononnya dengan keberadaan Bersatu, orang bukan Melayu tidak akan menjauhi PN walaupun ada Pas.
Sebenarnya, usahlah cari alasan atau hujah yang menampakkan seolah-olah kalau Pas terajui PN – gabungan itu akan berakhir sebab tidak akan mendapat sokongan pengundi semua kaum. Terimalah hakikatnya ‘nyawa; PN adalah di tangan orang Melayu.
Pas mempunyai kekuatan untuk mempertahankan ‘nyawa’ tersebut manakala Bersatu belum tentu lagi.
Ia kerana selain Bersatu bergantung kepada Pas, ketika ini Bersatu juga merupakan parti yang paling berantakan dalam politik tanah air akibat pergolakan dalaman. Pertembungan antara Muhyiddin dan Datuk Seri Hamzah Zainuddin sudah menjadi rahsia terbuka. Serangan orang Muhyiddin terhadap Hamzah tidak lagi secara tertutup tetapi sudah terbuka sehingga seantero dunia pun tahu.
Penulis percaya ‘perang saudara’ itu akan menjadi bertambah buruk apabila kem Hamzah melakukan serangan balas. Jika begitulah keadaannya layakkah Muhyiddin mahu ‘dinaikkan pangkat’ dari Pengerusi PN kepada Pengerusi Majlis Presiden? Layakkan Muhyiddin memimpin PN dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) sedangkan dalam parti sendiri pun seperti ‘tongkang pecah’!
Cukuplah tidak usah lagi beri alasan atau mengalih perhatian. Isu utama sekarang ialah Muhyiddin sudah meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN. Ramai ‘saksi hidup’ yang boleh mengesahkan bekas Perdana Menteri itu sudah berbuat demikian pada 30 Disember 2025 dan berkuat kuasa pada 1 Januari 2026.
Tidak perlu melakukan maneuver, tidak perlu mencipta taktikal dan tidak perlu mencari teknikal kerana ia tidak akan mampu memadam fakta bahawa Muhyiddin bukan lagi Pengerusi PN. Penulis tidak faham kenapakah perkara yang mudah dipersulitkan?
Kenapa tidak berterus terang sahaja bahawa Muhyiddin mahu terus menerajui PN tetapi dalam jawatan baharu supaya tidak nampak beliau melakukan ‘u-turn’…bukankah itu lebih baik daripada ‘putar satu alam’ mencari alasan!


