HARI ini Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman melangkah masuk ke Kementerian Pertahanan (MINDEF) untuk menduduki kerusi Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) – Beliau adalah individu ke-24 memegang jawatan tersebut.
Berbanding 23 orang PAT sebelum ini, Malek Razak memegang jawatan itu ketika imej ATM tidak berada dalam keadaan baik. Pelbagai isu berkaitan moral dan integriti yang mengegarkan pasukan pertahanan tersebut adalah cabaran terbesar buat beliau.
Mahu tidak mahu kita harus mengakui imej ATM yang sebelum ini dilihat lebih bersih daripada agensi penguat kuasa lain sudah terjejas teruk. Malangnya yang didakwa melakukan perbuatan tersebut ialah mereka yang dibahunya terdapat berbintang-bintang.
Bagaimanapun biarlah mahkamah menentukan sama ada mereka bersalah atau tidak, tetapi yang pastinya imej ATM sudahpun merudum. Justeru adalah menjadi tanggungjawab Malek Razak yang memiliki kelulusan Diploma Strategik dan Keselamatan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Master of Arts in Defence Studies daripada King’s College London serta Sarjana Sains Sosial (Pengajian Pertahanan) daripada UKM memulihkan keadaan itu.
Beliau yang memulakan perkhidmatan pada 1985 sebagai Pegawai Kadet Luar Negara di Royal Military College, Sandhurst, United Kingdom dan ditauliahkan pada 11 Dis 1987 dengan pangkat Leftenan Muda perlu memastikan imej ATM mampu diangkat semula.
Dalam tempoh 100 hari pertama beliau, Malek Razak harus menumpukan perhatian kepada soal tersebut dan memastikan isu integriti tidak lagi menghantui ATM. Sebagai Panglima Angkatan Tentera, beliau perlu memastikan di mana-mana juga peringkat dalam pasukan tersebut tidak ada lagi mereka yang tidak bersih atau nampak tidak bersih. Imej ATM perlu dipulihkan dan integriti ATM harus diperkukuhkan.
Malek Razak sememangnya mengetahui beban yang menanti dan persepsi yang sedang menghantui ATM, oleh itu pada sidang media pertamanya, beliau berjanji akan melaksanakan ‘pembersihan menyeluruh’ dalam ATM.
Kata beliau yang sebelum ini adalah Panglima Medan Barat Tentera Darat, tiada kompromi dengan apa yang berlaku dan melanggar tatakelola, pengurusan sumber manusia, pelan pembangunan, pengurusan kewangan atau pun perolehan yang dikendalikan ATM di bawah Kementerian Pertahanan.
“Jadi,ini ialah janji kita (ATM), janji saya, janji semua yang duduk di belakang saya untuk kita menguruskan ini. Alhamdulillah ada hikmahnya apa yang berlaku dan itu mengajar kita. Mengajar kita untuk melihat balik, memuhasabah diri sama ada individu atau pun organisasi untuk kembali memulihkan keadaan supaya kita lebih stabil dan bersedia kerana entiti atau pun organisasi ATM ini ialah organisasi yang teguh,” katanya selepas Majlis Sambutan Mula Tugas Panglima Angkatan Tentera Ke-24 di Wisma Pertahanan.
Malek Razak berkata, janji beliau itu berdasarkan kepada garis panduan strategik daripada Kementerian Pertahanan.
“Saya mendapat mandat utama daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan itu memberikan satu keyakinan baharu untuk kami.
“Saya dan juga semua panglima-panglima untuk kita terus melihat tatakolela ini dan kita akan terus menganjak menuju angkatan masa hadapan sebagaimana yang digariskan dalam pelan strategik utama ATM. Jadi kita akan terus bergerak, memacu ke hadapan. Kita lupakan secara total dan itu adalah satu wake up.
“Kita akur dan faham kerisauan rakyat, perkara yang berlaku ini adalah satu wake up call kepada pengurusan ATM terutamanya yang melibatkan tatakelola, integriti, perolehan, pembangunan dan pengurusan kewangan,” katanya.
Beliau berkata tindakan awal telah diambil oleh Kementerian Pertahanan dalam tempoh sebulan yang lalu, dan proses penambahbaikan akan diteruskan secara menyeluruh.
Malek Razak juga memaklumkan, beliau telah menghadap Sultan Ibrahim dan menerima beberapa titah penting yang perlu diberi perhatian segera antaranya menyentuh kepada kepimpinan melalui teladan integriti di dalam perkhidmatan, pengurusan dan tatakelola.
“Tuanku menitahkan supaya disiplin perlu ditegakkan sebagai ketumbukan utama yang menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.
“Selain itu, Seri Paduka Baginda turut menekankan soal kebajikan anggota serta keperluan memelihara dan memperkukuhkan semula moral warga ATM yang terjejas akibat perkembangan semasa selain menekankan kebajikan anggota dan memelihara serta memperkuatkan kembali moral anggota yang terjejas,” katanya.
Malek Razak turut menyifatkan jawatan Panglima ATM sebagai satu amanah besar terutamanya dalam keadaan semasa yang mencabar.
Sesungguhnya Malek Razak sudah berjanji melakukan pembersihan maka rakyat menanti apa kesudahan dan sekali lagi imej ATM jadi tumpuan. Selamat Bertugas Datuk!


