Larangan import e-waste berkuat kuasa serta merta – SPRM

SURUHANJAYA  Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengumumkan bahawa pengimportan sisa elektronik (e-waste) diklasifikasikan di bawah kategori Larangan Mutlak mengikut Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023, berkuat kuasa serta merta.

Keputusan ini dicapai melalui Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Hala Tuju Pengurusan Penguatkuasaan Pengimportan Sisa Plastik dan E-Waste Dalam Negara Bil. 2/2026, sebagai langkah memperketatkan kawalan kemasukan sisa berbahaya dan melindungi alam sekitar.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, yang mempengerusikan mesyuarat tersebut menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan tegas dan bersepadu oleh semua agensi berkaitan adalah diperlukan.

“E-waste tidak lagi dibenarkan masuk ke negara ini. Penguatkuasaan mesti dilaksanakan dengan tegas melibatkan semua agensi,” katanya.

Sehubungan itu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) diarah mengemukakan permohonan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk meletakkan e-waste di bawah kategori Larangan Mutlak.

Sebelum ini, e-waste disenaraikan di bawah Larangan Bersyarat di mana Ketua Pengarah JAS mempunyai kuasa budi bicara untuk memberikan pengecualian tertakluk kepada syarat tertentu. Peruntukan ini termaktub dalam Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Mesyuarat turut memutuskan penubuhan Jawatankuasa Khas Penyelarasan E-Waste, yang akan dipengerusikan oleh Komander Kawalan dan Perlindungan Sempadan AKPS, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal. Jawatankuasa ini perlu melaporkan hasil mesyuarat kepada Pasukan Petugas Khas dalam tempoh seminggu bagi memastikan pengurusan e-waste lebih sistematik dan berkesan.

Selain itu, mesyuarat turut membincangkan cadangan pelaksanaan moratorium tiga bulan terhadap pengimportan sisa plastik. Namun, sebelum keputusan dimuktamadkan, MITI, JPSPN dan SWCorp perlu mengemukakan data terperinci mengenai sumbangan sektor berkenaan kepada ekonomi negara untuk pertimbangan Perdana Menteri.

Mesyuarat turut dihadiri oleh  Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram PDRM  ⁠Datuk Fazlisyam Abd Majid, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Nor Yahati Awang, Pengarah BPT SPRM  Datuk Mohd Zaki Hassan dan Pengarah Bahagian Urus Tadbir Sektor Awam SPRM  Sudirman Aban.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img