LCS : ‘’Kenakan penalti maksimum terhadap LUNAS’’ – kata Ikmal Hisham kepada MINDEF

AHLI Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz, berkata, Kementerian Pertahanan (MINDEF) perlu mengenakan penalti Ganti Rugi Tertentu dan Ditetapkan (LAD) semaksimum mungkin terhadap syarikat Lumut Naval Shipyard (LUNAS) berhubung kegagalan mematuhi garis waktu pelaksanaan projek kapal tempur pesisir (LCS) 1, KD Maharajalela.

Beliau yang juga Ketua Portfolio Pertahanan Parti Perikatan Nasional (PN) turut mempersoalkan sama ada Perjanjian Tambahan (SA) yang dimeterai pada 2023 selepas kerajaan memberikan peruntukan tambahan RM2 bilion kepada LUNAS, memperuntukkan klausa LAD sekiranya syarikat itu gagal mematuhi garis waktu pelaksanaan.

Berikut kenyataan penuh beliau:

Saya ingin menarik perhatian berkenaan penjelasan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Norsin sewaktu sesi jawab lisan soalan Dewan Rakyat pada 28 Januari 2026 berhubung status terkini Sea Trial kapal LCS 1 @ KD Maharajalela.

Menurut Menteri Pertahanan, Kapal KD Maharajalela akan hanya menjalani proses Sea Trial sebenar bermula pada April 2026 disebabkan keperluan untuk membaiki dan membina semula sistem perpaipan dan kabel elektrik kapal.

Beliau juga menjelaskan, masalah kelewatan ini juga berpunca daripada lambatnya perbekalan peralatan oleh pihak Original Equipment Manufacturer (OEM) dan bukan kesilapan oleh pihak pembina iaitu LUNAS.

Saya ingin menarik perhatian terhadap Laporan Jawatankuasa Siasatan, Tadbir Urus dan Perolehan Wang Kerajaan (JKSTUPKK) yang dipengerusikan oleh Tan Sri Ambrin Buang pada tahun 2019 dan Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) tahun 2022.

Kedua-duanya  jelas menyatakan bahawa punca permasalahan Projek Littoral Combatant Ship (LCS) adalah berikutan keperluan pihak Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNSSB) yang terpaksa menyelesaikan masalah legasi hutang lapuk projek NGPV berjumlah RM400 juta (PSC-Naval Dockyard).

Selain itu, pihak BNSSB juga perlu melangsaikan hutang sedia ada dengan pihak vendor berkaitan projek LCS yang tertangguh berjumlah RM801 juta serta menanggung kos peralatan usang pada anggaran RM255 juta (nilai tahun 2019).

Tiga isu besar ini telah menyebabkan Kerajaan Persekutuan bermurah hati menambah jumlah peruntukan daripada RM9.128 bilion kepada RM11.2 bilion pada tahun 2023 serta mengurangkan jumlah kapal daripada enam kepada lima buah.

 Selain itu  disebabkan wujudnya persepsi buruk masyarakat terhadap Syarikat BNSSB dan juga kesan buruk pegangan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) terhadap saham BNSSB, maka syarikat ini juga dijenamakan semula dengan nama baharu iaitu Lumut Naval Shipyard (LUNAS) dan dilepaskan pegangan saham oleh LTAT kepada sebuah syarikat Special Purpose Vehicle (SPV) bernama Ocean Sunshine Sdn. Bhd. (OSSB) milik penuh Kementerian Kewangan (MoF).

Projek ini kemudian dikawal selia secara ketat melalui penubuhan Project Monitoring Committee (PMC) yang dianggotai oleh Pegawai Kanan Kerajaan seperti Ketua Setiausaha (KSU) MINDEF dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) dan wakil-wakil TLDM.

Kononnya, melalui kaedah baharu pelaksanaan projek LCS ini bersama peruntukan tambahan berjumlah hampir RM2.0 bilion, projek ini tidak lagi akan menemui permasalahan dan bakal siap mengikut masa yang ditetapkan.

Sebagai rekod, kos asal kapal LCS ini adalah berjumlah RM1.4 bilion untuk sebuah kapal, maka sekiranya dicongkak peruntukan RM11.2 bilion ini, mampu memberikan TLDM sebanyak lapan buah kapal.

Bagaimanapun selepas  penjelasan terkini Mohamed Khaled, rakyat Malaysia wajib bertanya beberapa soalan penting antaranya:

  • Kenapa masih wujud permasalahan pihak vendor @ OEM lambat membekalkan peralatan mengambil kira projek LCS ini bukan projek baharu serta masalah ini terjadi selepas penambahan bajet daripada RM9.128 bilion kepada RM11.2 bilion.

 Hutang lama pihak BNSSB dengan pihak vendor berjumlah RM801 juta juga sudah diselesaikan maka sudah tidak ada lagi permasalahan tiada bajet yang diperuntukkan kepada pihak LUNAS untuk membayar OEM?

  • Kenapa wujud permasalahan perpaipan dan kabel wiring yang perlu dilaksanakan semula oleh pihak LUNAS mengambil kira detailed design sudah diluluskan 100% oleh pihak Naval Group dari Perancis selaku pemilik rekabentuk GOWIND?

Apakah pihak LUNAS tidak teliti dalam pelaksanaan kerja sejak ia dimulakan semula pada 2023 hingga mengakibatkan sistem perpaipan dan kabel perlu dilakukan semula? Siapa yang akan menanggung kos tambahan kerja-kerja ini?

  • Kenapa pihak PMC atau Technical Monitoring Team gagal menjangkakan permasalahan-permasalahan ini, sedangkan dinyatakan bahawa PMC akan bersidang setiap bulan untuk memastikan projek ini dilaksanakan dengan baik dan tidak lagi tertangguh selepas Kerajaan Persekutuan menambah jumlah peruntukan yang cukup besar pada tahun 2023?

Saya ingin menegaskan keperluan penting supaya MINDEF tidak lagi berkompromi dengan pihak LUNAS kali ini mengambil kira walaupun jumlah peruntukan ditambah dengan sangat banyak dan jumlah kapal dikurangkan daripada enam  kepada lima , pihak LUNAS masih gagal mematuhi garis waktu yang ditetapkan sekaligus memberi kesan kepada TLDM untuk melaksanakan tugas menjaga kedaulatan negara.

Impak kelewatan kapal KD Maharajalela ini bukan sahaja kepada kesediaan aset kepada TLDM, tetapi juga kapal-kapal yang ditempah menggunakan teknologi tahun 2014, apakah ianya masih relevan lagi digunakan pada tahun 2027 kelak?

Bukankah ini akan mengakibatkan timbulnya kos tambahan untuk Kerajaan sekali lagi menyemak sistem persenjataan yang akan digunakan mengambil kira kapal LCS ini bukan kapal peronda biasa, tetapi merupakan kapal tempur bersifat halimunan?

Saya melihat tiada lagi keperluan untuk  MINDEF atau TLDM memberi muka kepada LUNAS mengambil kira syarikat ini bukan lagi milik LTAT serta tidak akan memberi kesan terhadap caruman tentera sedia ada. Justeru MINDEF perlu mengenakan penalti LAD semaksimum mungkin kepada pihak LUNAS.

Cuma persoalan saya, apakah Supplementary Agreement (SA) yang baharu dimeterai pada tahun 2023 selepas Kerajaan Persekutuan memberikan peruntukan tambahan berjumlah RM2.0 bilion kepada LUNAS ada memperuntukkan klausa supaya MINDEF selaku pemilik kontrak mengenakan LAD kepada syarikat LUNAS sekiranya mereka masih gagal mematuhi garis waktu pelaksanaan.

Jika tidak, maka seluruh ahli PMC atau Technical Monitoring Team termasuk KSP dan KSU MINDEF perlu dikenakan tindakan surcaj kerana gagal menjaga kepentingan Kerajaan di dalam pelaksanaan projek ini.

Saya juga menjangkakan garis waktu kapal KD Maharajalela untuk ditauliahkan seawal Disember 2026 sebagaimana yang diumumkan oleh Menteri Pertahanan tidak akan tercapai.

Ia mengambil kira bukan sahaja kapal ini sekarang kelihatan berada dalam keadaan usang dan berkarat, tetapi juga tempoh Sea Trial yang biasa dilaksanakan oleh pembina kapal bertauliah seperti di Itali, Eropah dan Amerika Syarikat, mereka memerlukan sekurang-kurangnya antara 6 hingga 8 bulan hanya jika kapal-kapal ini berada dalam keadaan normal dan tidak bermasalah. Situasi ini tidak berlaku kepada kapal KD Maharajalela yang nyata berada dalam keadaan abnormal.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img